|
|
Menara Kalyan (juga disebut Minorai Kalon, Kalon Minor) adalah sebuah menara yang terletak dalam kawasan kompleks masjid Po-i-Kalyan di Bukhara, Uzbekistan.
Menara ini merupakan salah satu mercu tanda paling terkenal di bandar tersebut. Ia direka oleh Bako, dibina pada tahun 1127 oleh pemerintah empayar Qarakhanid, Mohammad Arslan Khan. Tujuannya adalah untuk memanggil umat Islam solat lima kali sehari.
Sebelum menara ini dibina, terdapat sebuah menara yang lebih kecil di lokasi yang sama namun ia telah runtuh. Struktur baru ini yang dinamakan ‘Kalyan’ (yang bermaksud kesejahteraan), menggambarkan pengaruh sejarah Buddha atau Zoroastrian.
Menara ini dibina dalam bentuk tiang bulat daripada bata bakar, yang semakin mengecil ke atas. Ketinggiannya mencapai 45.6 meter (150 kaki), dengan diameter 9 meter (30 kaki) dan 6 meter (20 kaki) di bahagian atas. Di dalam menara, terdapat tangga spiral yang melingkar menuju ke puncaknya.
Hiasan menara ini terdiri daripada bata dan jubin yang dibakar. Dinding menara ini dihiasi dengan pelbagai corak, bukan hanya geometri, tetapi juga dengan lakaran teks Kufik yang mempunyai nilai sejarah dan agama.
Pada abad ke-16, Kalyan Minaret menjadi tempat ibadah umat Islam. Kawasan ini dilengkapi masjid dan madrasah. Dari puncak menara, muadzin akan melaungkan azan untuk menyeru umat Islam melaksanakan solat lima kali sehari.
Digelar Menara Kematian
Pada zaman peperangan, menara ini digunakan sebagai lokasi pemerhati untuk melihat kedatangan musuh. Namun, menara ini juga memiliki sejarah yang gelap.
Selepas lebih 100 tahun pembinaannya, sewaktu Gengkhis Khan membantai dan meratakan kawasan sekeliling ini, dia memerintahkan tenteranya agar tidak menghacurkan menara tersebut, hanya kerana dia mengagumi reka bentuk menara itu.
Menara ini juga dikenali sebagai ‘menara kematian’. Mengapa digelar begitu? Kerana suatu masa dahulu, para penjenayah yang dijatuhi hukuman mati akan dicampakkan dari puncak menara ini.
Pada zaman revolusi Rusia, penjajah menjadikan menara ini sebagai tempat menjalankan hukuman mati yang dipertontonkan kepada rakyat. Masyarakat dihukum mati dengan cara tidak berperikemanusiaan. Mereka dilempar dari puncak menara ini dan jatuh terhempas di atas tanah. Hukuman keji itu hanya berakhir pada tahun 1920.
Seorang pengembara, Fitzroy Maclean, yang melawat Bukhara pada tahun 1938 mencatatkan dalam memoirnya, Eastern Approaches – “Selama berabad-abad sebelum tahun 1870, dan sekali lagi pada tahun-tahun yang penuh pergolakan antara 1917 hingga 1920, lelaki-lelaki dibaling ke bawah dari galeri yang dihiasi indah yang memuncak di menara ini.”
Sejarah Pembinaan Menara Kalyan
Mengikut catatan sejarah, sebelum pembinaan Menara Kalyan, terdapat sebuah menara yang lebih kecil di tempat tersebut, namun ia telah runtuh. Pada tahun 1127, ketika Bukhara berada di bawah pemerintahan Karakhanid, pembinaan menara ini dimulakan oleh pemerintahnya, Arslan Khan Muhammad, yang terkenal dengan usaha pembangunan bandar.
Nama beliau diukir pada salah satu tali hiasan menara ini sebagai pengasas pembinaannya. Manakala jenazah arkitek menara ini, Bako, dikebumikan 45 meter dari menara tersebut. Kononnya, Bako berwasiat agar menara ini jatuh ke kepalanya sekiranya runtuh. Untuk itu dia mahu dikebumikan di tempat yang telah ditandakannya.
Pada awalnya, menara ini mempunyai pelbagai fungsi. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai menara pemerhati, tetapi juga digunakan sebagai tempat untuk mengumandangkan azan kepada umat Islam untuk solat di Masjid Kalyan yang terletak berhampiran. Selain itu, ia digunakan untuk menyeru penduduk membaca pengumuman atau dekri dari pemerintah.
Pada tahun 1920, menara ini mengalami kerosakan akibat serangan bom Soviet semasa operasi Bukhara. Beberapa tahun selepas itu, sebahagian kecil menara ini telah dibaikpulih.
Pada tahun 1960, bahagian bawah menara ini dibaiki dan diperkukuh. Pada tahun 1997 sempena ulang tahun ke-2500 Bukhara, menara ini menjalani pengubahsuaian besar yang dipimpin oleh para tukang terbaik, selain beberapa proses pemulihan lain. Kini, ia menjadi salah satu mercu tanda pelancongan di Bukhara.
Sumber: Utusan TV
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|