|
|
"Apabila saya mendapat tahu ada remaja beranggapan pembelian tuala wanita adalah sesuatu perkara yang mewah sebaliknya lebih baik wang itu dibelanjakan untuk membeli makanan, ia mendorong saya melakukan sesuatu yang boleh membantu golongan ini.
"Golongan remaja ini sanggup ponteng sekolah ketika dalam haid kerana tidak mampu membeli tuala wanita menyebabkan saya terpanggil untuk membantu lebih ramai wanita berkenaan bagi mendapatkan hak mereka bersekolah," kata usahawan sosial berusia 51 tahun itu kepada penulis.
Anak kelahiran Banting, Selangor itu yang menjalankan perniagaan tuala wanita yang boleh dicuci semula sejak 2008 sebenarnya berkecimpung dalam dunia perniagaan berkenaan secara tidak sengaja.
Anja Juliah Abu Bakar berkata, ketika masih bekerja dalam bidang korporat berstatus multinasional, dia banyak menghadiri mesyuarat di luar negara dan di kesempatan itu, dia membeli barangan cenderamata yang boleh dijual di Malaysia.
"Ketika itu, saya banyak membeli barangan seperti perhiasan rumah, beg, kain ela dan telekung untuk dijual, tetapi seperti biasa kadangkala ada permintaan dan ia tidak begitu stabil. Namun, saya tidak puas dan banyak mencari peluang perniagaan menerusi pembacaan di alam maya.
"Pada masa sama saya juga aktif dalam dunia sembang maya dan menyertai satu kumpulan sembang dalam kalangan ibu dari luar negara. Kebetulan ada seorang ibu berkongsi cerita dia baharu menyiapkan set tuala wanita untuk anak gadisnya yang baharu datang bulan," katanya.
Kata Anja Juliah, ketika itu dia pelik kerana mengapa perlu si ibu itu menyiapkan dan bukan membeli sahaja tuala wanita yang sedia ada di pasaran untuk digunakan anak gadisnya.
"Rupa-rupanya kumpulan sembang saya itu adalah dalam kalangan mereka yang memperjuangkan isu organik dan menggunakan tuala wanita buatan sendiri sudah puluhan tahun. Jadi, saya melihat ia satu perkara yang boleh dikomersialkan.
"Bermula dari situ, saya mengambil masa kira-kira lima hingga lapan bulan untuk mengkaji mengenai tuala wanita yang boleh dipakai semula dan mendapatkan pelbagai maklumat," katanya.
Katanya, cabaran pertama ketika ingin mencipta tuala wanita itu adalah untuk mendapatkan fabrik yang dijual dalam skala kecil kerana kain buluh yang dijual syarikat kain dari luar negara adalah dalam kuantiti yang besar.
"Saya tidak mempunyai modal besar untuk membeli dalam kuantiti yang besar dan saya tanya dalam kumpulan sembang maya itu lagi, cara membeli fabrik buluh dalam kuantiti kecil.
"Jadi, saya dapat membelinya dari Amerika Syarikat dengan modal RM500 sahaja. Kemudian, cabaran kedua saya tidak tahu menjahit. Jadi, ketika ingin menghantar kepada tukang jahit mereka tidak mahu lakukan dan ketawakan saya," ceritanya.
Akhir sekali dia bertemu seorang bekas banduan lelaki yang membantunya menjahit dan dapat menghasilkan 37 tuala wanita yang cantik dalam masa seminggu.
"Di peringkat awal saya mencari wanita yang sukarela ingin mencuba produk saya dalam kalangan kawan pejabat dan orang sekeliling. Sasaran saya ketika itu adalah untuk wanita yang mempunyai kulit sensitif apabila menggunakan tuala wanita pakai buang.
"Saya tidak menyangka produk saya mendapat maklum balas amat positif dan akhirnya bermula dari aktiviti sampingan pada 2008 saya cuba pula memasuki pertandingan anugerah inovasi anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Tidak sedikit pun saya menyangka akan memenangi kategori wanita. Bertitik tolak dari itu, saya menerima banyak undangan dan jemputan temu bual untuk siaran di televisyen, radio dan akhbar pelbagai bahasa. Kemudian pada Julai 2012, saya mengambil keputusan berhenti kerja dan menjadi usahawan sepenuh masa," katanya.
Bermula dari pengeluaran sebanyak 2,000 keping sebulan oleh komuniti wanita di Hulu Langat, kini dengan teknologi jahitan terkini, kapasiti pengeluaran boleh dibuat sehingga 100,000 keping dalam tempoh enam minggu.
"Pada September 2012, saya dihubungi kumpulan pendakwah Kristian di Sabah yang meminta bantuan menaja 33 set tuala wanita untuk remaja di pedalaman. Terus terang, saya agak ralat untuk menyumbang kerana saya baru sahaja tiga bulan menjalankan perniagaan sepenuh masa dan belum mengambil gaji. Semua wang hasil keuntungan diguna untuk membeli bahan jahitan dan membayar upah. Tetapi, atas rayuan demi rayuan, saya akhirnya bersetuju selepas mendapat tahu ada remaja yang tidak mampu membeli tuala wanita.
"Malah, mereka melihat membeli tuala wanita pakai buang adalah sesuatu yang mewah dan sanggup tidak ke sekolah ketika datang bulan. Bermula dari situ, pada Januari 2013, saya melancarkan kempen pemerkasaan gadis. Dengan setiap pembelian set tuala wanita, seorang gadis akan ditaja satu set lagi secara percuma. Bertitik tolak dari situ, semakin ramai mula menghubungi saya untuk membeli, sekali gus menaja seorang gadis di pedalaman. Seterusnya, selain membuat tajaan, saya juga mengadakan aktiviti kesedaran mengenai kebersihan diri dalam kalangan gadis di pedalaman," katanya.
Katanya, ketika membuat kerja amal itu, dia sering kali didatangi golongan ibu luar bandar yang bertanya mengenai cara berniaga dan bertitik tolak dari situ dia mengadakan perkongsian ilmu perniagaan.
"Saya tidak menyangka hasil perkongsian itu mendapat perhatian pelbagai pihak bukan sahaja di Malaysia, malah sehingga luar negara. Akhirnya, saya menjadi usahawan sosial yang diiktiraf pelbagai pihak," katanya.
Pada awal pembabitannya itu, dia tidak mengetahui berkenaan perusahaan sosial sebelum berpeluang bertemu Pemenang Anugerah Nobel Keamanan 2006, Profesor Muhammad Yunus dari Bangladesh yang mencadangkan model perniagaan itu.
"Pada awalnya saya anggap ia seperti program tanggungjawab sosial korporat (CSR). Tapi, sebenarnya saya sudah laksanakan model perniagaan itu tanpa sedar dengan menjalankan kempen melalui setiap pembelian satu set tuala wanita, satu set lagi akan disumbangkan kepada pelajar yang mendapat sambutan menggalakkan.
"Hanya pada 2015 baharu saya faham mengenai konsep itu selepas ditawarkan menyertai program perusahaan sosial oleh Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC)," katanya.
Jelasnya, sehingga kini, lebih 5,000 remaja sudah dibantu menerusi program yang dilaksanakan di seluruh negara.
"Dari jumlah ini, setiap 1,500 remaja yang menggunakan produk tuala wanita guna semula ini, kami pantau perkembangan mereka selama lima tahun. Hasil kajian yang dijalankan kami dapati sudah mengurangkan sejumlah 464,000 tuala pakai buang dari dibuang.
"Malah, lebih mengharukan, jumlah pelajar yang ponteng dan berhenti sekolah dapat dikurangkan hasil impak daripada program ini," katanya.
Selain dalam negara, dia turut diminta menjalankan program berserta perkongsian berkenaan perusahaan sosial di United Kingdom, Amerika Syarikat, Zanzibar, Dubai, Filipina, Amsterdam, Vietnam dan menyertai forum keusahawan sosial di Sweden serta pernah dijemput sebagai tetamu di White House, Amerika Syarikat pada 2019 oleh Penasihat Presiden Amerika Syarikat, Ivanka Trump.
Paling berprestij apabila Anja Juliah menerima Commonwealth Points of Light sebagai mengiktiraf khidmat kesukarelawan yang luar biasa kepada masyarakat. Sijil itu yang ditandatangani mendiang Ratu Elizabeth II sebagai Ketua Komanwel sebelum kemangkatan baginda.
Sumber: Harian Metro
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|