CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7524|Reply: 0

[Buku & Kesusasteraan] Puisi-puisi birokrat sastera

[Copy link]
Post time 19-3-2025 07:43 PM | Show all posts |Read mode

ADA dua tajuk yang menarik untuk diperkatakan berdasarkan senarai buku yang diterbitkan menerusi

Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia Madani, baru-baru ini.

Dua judul itu adalah Rimbulan Malam yang dihasilkan oleh mantan Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun 1994 hingga 2004, iaitu Datuk Aziz Deraman dan Ufuk Janji tulisan KP DBP terkini, Dr Hazami Jahari.

Kedua-dua buku ini sebenarnya memperjelaskan sisi dua individu berkenaan sebagai birokrat sastera dan juga penulis puisi yang baik. Ia bukan saja memperlihatkan pengalaman dan falsafah hidup mereka, malah turut mencerminkan kesinambungan sejarah dan perjuangan bahasa dalam sastera kebangsaan.

Apatah lagi, mereka mempunyai latar belakang yang kuat dalam dunia sastera dan akademik, menjadikan karya berkenaan sebagai refleksi terhadap perkembangan budaya serta pemikiran dalam masyarakat Melayu moden.

Pengalaman bertahun-tahun menerajui DBP menyaksikan, Aziz dan Hazami bukan sahaja berperanan sebagai pentadbir, malah juga sebagai pemikir dan pencorak masa hadapan kesusasteraan Melayu.

Aziz dikenal dengan gaya penulisan kaya falsafah serta nilai ketuhanan, dan ia dapat dilihat dalam Rimbunan Malam yang menjadi refleksi berkenaan kehidupan, keimanan, serta keresahan intelektual terhadap zaman yang semakin mencabar.

Kumpulan puisi itu mengandungi sajak-sajak yang menggambarkan pemikiran mendalam berkenaan perjalanan hidup dan makna kewujudan manusia dalam konteks sosial dan spiritual. Antaranya, puisi Rimbunan Malam yang menjadi tajuk naskhah, menggambarkan pergolakan jiwa manusia mencari makna di sebalik realiti kehidupan dan ketidaktentuan masa:

Rimbunan malam kala sunyi

terbangun dikejutkan mimpi

dikejar igauan lama cari erti

Puisi ini mengangkat tema introspektif, dengan Aziz menyoal kewujudan manusia di antara dua dimensi, duniawi dan ukhrawi. Gaya bahasanya mendalam dan simbolik selain, setiap bait puisinya mengandungi elemen ketuhanan sekali gus mengajak pembaca untuk merenung kembali peranan mereka sebagai khalifah di dunia.

Sajak "Sakti Lidah Bangsa" juga agak menarik kerana ia mengangkat tema penting mengenai kuasa bahasa dalam membentuk jati diri dan keutuhan bangsa. Beliau menggambarkan bahasa sebagai elemen sakti yang menjadi teras perjuangan mempertahankan kemerdekaan serta maruah tanah air.

Puisi ini menekankan bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi, malah menjadi asas tamadun yang membina dan menyatukan masyarakat. Metafora seperti "nyala api suatu zaman" dan "daulat nusa merdeka pertahan" menggambarkan semangat perjuangan yang terus menyala melalui kelangsungan bahasa.

Hazami pula membawa pendekatan lebih kontemporari dalam karyanya. Ufuk Janji sarat dengan pemikiran eksistensial dan pergelutan makna antara janji, harapan, dan realiti kehidupan. Berbeza dengan Aziz yang lebih banyak berbicara berkenaan nilai keimanan, Hazami menjadikan janji sebagai metafora kepada pelbagai aspek kehidupan manusia. Puisi "Janji" menyampaikan makna mendalam berkenaan pengkhianatan dan ketidakpastian hidup:

Runtuhnya tembok takdir

disapa semilir mungkir

yang hadir mengukir

tapak zahir

di pinggir

fikir.

Bahasa yang digunakan lebih eksperimental dan mempunyai unsur kebebasan dalam struktur puisi. Ia mencerminkan era pascamoden yang lebih menitikberatkan kebebasan ekspresi dan makna tersirat. Hazami turut menampilkan elemen sosial dan kemanusiaan dalam puisinya, mencerminkan pemikirannya terhadap situasi semasa. Puisi ini amat menarik dari segi suku kata yang dipilih serta susun atur hurufnya.

Sajak "Sihir Janji" pula menggambarkan kekecewaan dan perasaan terperangkap dalam janji-janji yang tidak ditepati. Penyair menggunakan simbol bulan dan bintang sebagai saksi kepada kesedihan disebabkan oleh janji yang hanya tinggal kata-kata kosong:

Bulan, meskikah aku terus berdurja

dan mengadu kepada bintang tujuh

bahawa lara ini sita daripada sihir janji

yang tergantung di langit mungkir

Kepercayaan yang dikhianati menjadi beban yang terus menghantui, membuatkan penyair seolah-olah "dijampi pelangi", metafora terhadap harapan indah, tetapi tidak nyata. Nada melankolik, puisi ini mencerminkan kekecewaan mendalam terhadap janji yang hanya sekadar ilusi​.

Karya Hazami membawa perspektif baharu dalam puisi Melayu dengan penggunaan metafora yang lebih urban dan reflektif. Ini menunjukkan bagaimana penulis peka terhadap perkembangan semasa, berjaya menyampaikan perasaan dan pemikirannya dalam bentuk yang lebih segar dan kontemporari.

Kedua-dua buku ini diterbitkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang bertujuan mengangkat karya asli penulis tempatan. Projek ini mengetengahkan kepentingan penulisan sebagai wahana yang mampu memperkukuh budaya dan pemikiran bangsa.

Sebanyak 125 buku diterbitkan menerusi projek ini yang tidak hanya memaparkan nilai estetika sastera, malah turut menghidangkan pemikiran relevan dengan pembangunan intelektual masyarakat. Dalam hal ini, Aziz dan Hazami, dengan status mereka sebagai Ketua Pengarah DBP pada era yang berbeza, berjaya menyumbangkan perspektif unik kepada landskap kesusasteraan Malaysia.

Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia Madani yang dilancarkan tahun lalu bertujuan untuk memastikan karya-karya asli dalam bahasa Melayu terus diterbitkan. Ia satu usaha penting dalam memartabatkan bahasa kebangsaan serta menggalakkan penulis berbilang bangsa untuk terus berkarya dalam bahasa Melayu.

- Penulis adalah Editor Pengurusan Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia Madani

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-2-2026 05:49 AM GMT+8 , Processed in 0.649592 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list