CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8534|Reply: 0

Sumandak kuasai kokpit pesawat

[Copy link]
Post time 19-3-2025 03:06 PM | Show all posts |Read mode
AZRINA dan Norleen (bertudung) bersama pramugari dalam pesawat.

Memiliki wajah jelita dan perwatakan lemah-lembut bukan penghalang buat dua Sumandak Sabah ini menerbangkan 'burung gergasi.' Kapten Azrina Johari Ho, 33, dan Norleen Sukaimi, 40, membuktikan mereka antara figura juruterbang wanita kelahiran Negeri di Bawah yang kini menghiasi kokpit pesawat sebuah syarikat penerbangan.

Kejayaan itu membuktikan mereka antara wanita yang mampu mengubah persepsi umum terhadap kaum hawa.

Hampir 12 tahun dalam dunia penerbangan, Azrina berpendapat stigma juruterbang hanya untuk lelaki sahaja perlu diubah kerana kini sudah ramai wanita di dalam skop kerja yang sama.

"Juruterbang sememangnya perlu belajar banyak perkara teknikal. Kalau kita selaku wanita bersedia mahu belajar, maknanya tiada istilah terlambat atau tidak boleh berjaya.

"Mungkin masyarakat hanya melihat pekerjaan ini sesuatu yang glamor namun hakikatnya perjalanan bergelar seorang juruterbang itu bukan perkara mudah dan kita harus mengekalkan prestasi kerana setiap enam bulan kami wajib menduduki peperiksaan.

"Saya tidak nafikan sehingga kini masih ada sesetengah pihak kekal kurang yakin dengan kemampuan juruterbang wanita tetapi secara peribadi anggap itu pembakar semangat khususnya bagi wanita Sabah membuktikan kebolehan diri kita yang sebenar," katanya yang memperoleh pangkat kapten ketika berusia 27 tahun.

Mengimbau kembali perjalanan sebagai juruterbang, ibu kepada seorang cahaya mata perempuan berusia 13 tahun itu berkata, kerjaya juruterbang bukanlah cita-cita asal ketika di bangku sekolah namun minat itu timbul selepas ibu bapa kerap membawanya melancong ke pelbagai destinasi.

"Saya berkata kepada diri sendiri kenapa tidak saya cuba menjadi juruterbang. Walaupun ketika itu jarang melihat juruterbang wanita tetapi saya mahu menjadi antara wanita Sabah terawal yang membawa kapal terbang.

"Bermula daripada detik itu, saya tanamkan azam dan cita-cita bergelar juruterbang malahan ibu bapa juga memberikan sokongan penuh.

"Tanpa berfikir panjang saya terus masuk Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) di Melaka pada 2010 dan menamatkan pengajian hampir dua tahun kemudian.

"Beberapa bulan selepas tamat latihan, saya diterima bekerja di MASwings. Ketika itu banyak penerbangan untuk domestik.

"Selepas tiga tahun bersama MASwings, saya mengambil keputusan mengembangkan kerjaya dengan menyertai AirAsia," katanya.

Berbeza dengan rakan seperjuangannya, Norleen sebelum itu adalah seorang usahawan tudung motif Borneo.

Pernah menyertai Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW), wanita mesra disapa Leen itu kini meneruskan kredibilitinya di awan biru.

Menurut Norleen, sejurus tamat latihan di akademi penerbangan pada 2012, dirinya sedikit sukar mendapat peluang pekerjaan sebagai juruterbang.

"Oleh itu, saya mula ceburkan diri dalam dunia perniagaan termasuklah berniaga tudung dan makanan bersama kakak.

"Perniagaan terus berkembang dan tanpa sedar sudah hampir lima tahun.

"Namun suatu ketika saya secara tidak sengaja bertemu dengan salah seorang bekas tenaga pengajar di akademi penerbangan dan dia mencadangkan saya 'terbang' semula kerana lesen penerbangan yang diperoleh akan tamat selepas lima tahun.

"Kebetulan pada waktu sama ayah memperkenalkan saya kepada rakannya dari Akademi Penerbangan Layang-Layang dan beliau memaklumkan saya mempunyai lesen penerbangan.

"Mungkin sudah rezeki dalam bidang ini, saya ditawarkan bekerja dengan akademi itu pada awal tahun 2018. Masa itu, saya banyak buat penerbangan umum termasuklah ambulans udara dan penerbangan ihsan.

"Lepas setahun, jurulatih sama memaklumkan Air Asia sedang mencari juruterbang dan saya mencuba nasib sebelum memulakan tugas pada April 2019.

"Saya sekarang memegang pangkat pembantu juruterbang kanan dan perancangan lima tahun akan datang pastinya mahu menjadi kapten," katanya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Geologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ditanya sama ada masih aktif dalam bidang perniagaan, wanita serba boleh itu memaklumkan dirinya kekal meneruskan perniagaan makanan di bawah jenama Lyndora Artisan Bakes yang menyajikan pelbagai jenis kek dan pastri.


Sumber:Harian Metro

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-2-2026 02:19 AM GMT+8 , Processed in 0.186173 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list