|
|
Edited by tatod at 16-3-2025 10:59 PM
PASAR Siti Khadijah cukup terkenal sebagai lokasi mesti singgah bagi pelancong yang berkunjung ke Kelantan. Bagaimanapun untuk orang tempatan ia bukan sahaja pasar basah membeli ikan dan sayur, di situ juga lokasi mendapatkan pelbagai jenis kuih-muih tradisional.
Setiap kali Ramadan pula, kemeriahan Pasar Siti Khadijah berganda-ganda, kedai menjual kuih-muih dikerumuni pembeli malah mereka bukan saja datang dari Kota Bharu dan sekitarnya, tetapi juga ada yang sanggup memandu dari Terengganu dan Pahang.
Namakan apa sahaja jenis kuih, sama ada akok, tepung pelita, jala emas, tahi itik, bunga tanjung atau pulut bakar, semuanya ada di situ. Malah, ramai juga pengunjung yang datang untuk membeli kuih yang hanya akan dijual pada bulan Ramadan saja seperti nekbat dan 'butir nako emas', hidangan dipercayai disediakan menggunakan resipi istana Thailand.
Di hampir setiap premis jualan, terdapat lebih 100 jenis kuih-muih boleh dibeli sebagai hidangan berbuka puasa. Setiap satunya unik dari segi tekstur, warna, bentuk dan tentu saja rasa, malah dengan harga berpatutan yang pasti mengamit selera.
Selain pilihan pelbagai aneka kuih-muih dan manisan tradisional, terdapat juga hidangan yang mempunyai pengaruh dan ciri-ciri negara jiran, Thailand turut dijual antaranya puding atau kek berasaskan coklat atau keju. Kuih-muih sebegitu biasanya menarik minat anak muda kerana rata-ratanya ia tular di media sosial.
Peniaga, Izzan Ariffin, 55, berkata dia sudah menjaja kuih-muih tradisional di pasar itu sejak 30 tahun lalu dan mengakui sangat teruja setiap kali ketibaan Ramadan.
Katanya, berdasarkan pengalamannya kedatangan pengunjung ke pasar itu akan bertambah antara dua ke tiga kali ganda setiap kali tiba Ramadan terutama pada minggu-minggu terakhir.
Izzan berkata, secara umum terdapat lebih 20 peniaga kuih-muih di pasar itu dengan setiap kedai mula beroperasi seawal jam 8 pagi sehingga 6 petang.
"Biasanya, pengunjung yang datang ke sini mahu mencari kuih-muih yang sukar ditemui di kedai-kedai biasa.
"Jadi, pasar ini adalah lokasi yang dituju sebab di sini terdapat banyak jenis kuih yang susah dijumpai di luar sana.
"Lagipun, semua kuih yang dijual di sini memang sedap belaka kerana ia dihasilkan oleh mereka yang memang cukup mahir dengan menu dan resipi manisan tradisional negeri ini," katanya.
Izzan berkata, prestij Pasar Siti Khadijah itu sendiri sebagai destinasi pelancongan wajib singgah jika ke Kelantan menyebabkan ia sentiasa menarik kunjungan pelancong, sekali gus menjadi faktor setiap peniaga sangat menjaga kualiti barangan yang dijual.
Kongsinya lagi, kebanyakan peniaga di situ juga sebenarnya memiliki kepakaran menyediakan pelbagai jenis kuih-muih dan manisan, dengan sebahagiannya turut mengambil tempahan kuih-muih untuk hidangan berbuka serta Aidilfitri.
Satu hal yang menarik, selain memiliki kepakaran menyediakan kuih-muih, kebanyakan peniaga di pasar itu juga adalah anak muda yang mewarisi perniagaan berkenaan daripada keluarga, sama ada nenek atau ibu bapa. Malah ada juga perniagaan kuih di situ diteruskan oleh generasi keempat.
Seorang daripada mereka, Nik Nor Ezaidah Nik Mat, 38, berkata dia adalah generasi kedua yang berniaga di situ.
Katanya, selain menjual kuih-muih tradisional seperti akok, tahi itik dan bunga tanjung, dia juga turut menjual pelbagai jenis kerabu dan serunding.
"Selain membeli kuih-muih untuk hidangan berbuka, ada juga pengunjung yang datang ke sini untuk mencari lauk-pauk berbuka puasa.
"Tak kurang juga yang mahu mendapatkan makanan tradisional hasil pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) seluruh Kelantan seperti tempeyek, keropok keping atau kuih getas.
"Agak menarik melihat orang luar dari Kelantan pun datang ke sini untuk melihat dan mengalami sendiri suasana pasar ini pada Ramadan, malah ada yang mengakui mereka mula mengenali beberapa jenis kuih-muih tradisional selepas berkunjung ke sini," katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung, Amirah Hussin, 33, berkata Pasar Besar Siti Khadijah adalah tempat wajib untuk dikunjungi setiap kali mengikut suaminya menyambut Ramadan di kampung.
"Saya berasal dari Kuala Lumpur, jadi sangat teruja jika dibawa ke sini kerana terdapat banyak kuih-muih yang tidak pernah diketahui.
"Setiap kali berkesempatan datang ke sini, saya pasti membeli kuih-muih tradisional Kelantan seperti tahi itik dan jala emas.
"Sejujurnya, saya suka membeli di sini kerana terdapat banyak pilihan selain ia beroperasi lebih awal serta lokasinya juga selesa kerana berbumbung dan tidak panas selain peniaga yang sangat mesra," katanya.
Tambah Amirah, Pasar Siti Khadijah bukan sekadar pasar basah tetapi ia juga ikon pelancongan malah secara tidak langsung 'kitab' untuk orang ramai mengenali kepelbagaian hidangan tradisional Kelantan.
Dalam masa sama katanya, seperti juga pengunjung dan peniaga lain di pasar itu, dia tidak sabar untuk merasai suasana baharu di situ selepas kerajaan memperuntukkan RM7 juta untuk menambah baik infrastruktur pasar terbabit.
Tak menang tangan sedia kuih tahi itik
Tahi itik atau dikenali juga sebagai hati sukma atau telur putih, antara kuih-muih tradisional di negeri Che Siti Wan Kembang yang mendapat permintaan ramai terutama sepanjang bulan Ramadan. Bukan sahaja memiliki nama yang unik, malah tahi itik mempunyai tekstur rasa tersendiri hasil campuran putih telur, tepung, gula dan minyak yang dibangkitkan lagi dengan aroma daun pandan.
Nama kuih tahi itik dipercayai diberikan berdasarkan rupanya yang keputih-putihan dan bertempek-tempek, menyerupai tahi itik selain dihasilkan daripada sisa penghasilan kuih lain, menyebabkan ia disamakan dengan sisa ataupun tahi.
Pengusaha kuih tradisional itu, Muhd Safwan Mohamad, 38, setiap kali Ramadan dia tidak menang tangan untuk menyediakan kuih berkenaan yang mencecah hingga 40 kilogram atau sekitar 400 biji tahi itik sehari.
atanya, proses menyediakan kuih itu tidaklah begitu rumit namun perlu dilakukan secara terperinci bagi mengelak tekstur yang keras atau berbau hanyir sekali gus mengganggu rasa.
"Tahi itik disediakan hanya menggunakan putih telur, mula-mula ia akan ditapis menggunakan kain sebelum dicampur bahan-bahan lain di dalam kuali dengan api sederhana.
"Adunan ini perlu dimasak dalam masa sejam atau lebih sehingga mendapat tekstur pekat dan padat.
"Biasanya ada antara peniaga yang akan membentuk kuih menjadi bulat, tetapi saya akan menjual terus kuih ini dengan mengisinya di dalam bekas pada harga RM6 sebekas dengan berat 520 gram (g)," katanya ketika ditemui di Kampung Tikat, Jalan Pantai Cahaya Bulan.
Muhd Safwan berkata, dia adalah generasi ketiga dalam keluarganya mengusahakan kuih tahi itik yang dimulakan oleh nenek sebelum diteruskan oleh bapanya, Mohamad Omar, 67. Malah, dia menyediakan tahi itik menggunakan resipi turun temurun gemulah neneknya yang kurang manis tetapi kekal bertekstur lembut.
Katanya, resipi itu nyata menarik perhatian ramai pelanggan berdasarkan sambutan yang diterima.
Tambahnya lagi, dia menggunakan 2,000 biji telur setiap hari untuk menghasilkan kuih tahi itik dengan proses penyediaan akan dimulakan seawal jam 7 pagi.
Tidak menjualnya sendiri terus kepada pelanggan, Muhd Safwan yang mengusahakan kuih itu di rumah berkata, pemborong akan datang mengambilnya sekitar jam 10 pagi untuk dijual seluruh Kelantan.
Tambahnya, terdapat lebih 50 pemborong setiap hari yang akan datang mengambil bekalan kuih untuk dijual di gerai-gerai termasuk di Pasar Siti Khadijah.
Kongsinya lagi, memandangkan kuih itu hanya menggunakan putih telur sahaja, jadi biasanya ia akan disediakan bersama dua jenis kuih lain iaitu jala emas dan bunga tanjung yang kedua-duanya dimasak menggunakan kuning telur.
"Ada kala tahi itik ini akan dijual sekali dengan jala emas dan bunga tanjung dalam satu bekas, tapi ia bergantung kepada permintaan pelanggan," katanya.
Selari dengan peredaran masa, Muhd Safwan turut mempromosi kuih tahi itik yang diusahakannya di dalam media sosial hingga mendapat permintaan dari luar Kelantan.
"Kuih tahi itik ini mampu bertahan sehingga empat bulan jika disimpan di dalam peti ais.
"Ada juga momen mencuit hati apabila pelanggan luar Kelantan terkejut dengan nama kuih ini, jadi saya pun memberitahu apa sebenarnya kuih ini.
"Umumnya mereka ketawa pertama kali mendengar nama tahi itik tetapi bila memakannya, masing-masing mengakui kelazatannya.
"Bagaimana pun, besar harapan saya tahi itik ini terus kekal sebagai kuih-muih tradisional yang tidak hilang ditelan zaman. Untuk diri sendiri, saya berjanji akan terus menghasilkannya supaya ia terus dapat dinikmati orang ramai," katanya.
INFO
Pasar Besar Siti Khadijah awalnya dikenali sebagai Pasar Besar Buluh Kubu sebelum nama itu ditukar oleh Menteri Besar ketika itu, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Ia dibuka pada tahun 1985
Keunikan pasar itu kerana didominasi oleh 95 peratus peniaga wanita
Sumber: BH Online
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
Rate
-
1
View Rating Log
-
|