CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 16329|Reply: 0

Aneka kuih talam Cik Mah 'licin' dalam masa sejam

[Copy link]
Post time 10-3-2025 09:10 PM | Show all posts |Read mode

IPOH: Tidak sampai sejam, kuih talam beraneka jenis hasil air tangan wanita berusia 71 tahun laris terjual sejak jualan dibuka di Bazar Ramadan Klebang Restu, di sini.

Menggunakan resipi yang dihasilkan sendiri ketika berusia 20-an itu, kuih talam Rahmah Hashim atau lebih dikenali dengan nama 'Cik Mah' yang dijual sejak 40 tahun lalu, sememangnya sentiasa menjadi tumpuan peminat kuih tradisional setiap kali menjelangnya Ramadan.

Anak lelakinya, Ishammudin Isahak, 37, berkata antara sebab kuih talam berkenaan menjadi pilihan kerana rata-rata pelanggan memaklumkan keunikan air tangan ibunya itu mengekalkan keaslian rasa kuih tradisional yang kini jarang-jarang ditemukan.

Beliau berkata, sepanjang Ramadan ini, setiap hari ibunya menyediakan sekitar 12 hingga 13 kuih talam bersaiz 60 sentimeter yang terdiri daripada kuih talam gula merah, seri muka pandan, seri muka durian, seri muka pulut hitam, kuih talam pandan, talam ubi, talam keladi, talam apam kastard serta puding jagung.

"Kalau nak ikutkan semua jenis talam menjadi pilihan tapi paling cepat habis ialah talam ubi, terutamanya pada bulan puasa. Memang guna resipi daripada mak sejak 40 tahun lalu.

"Kesemua kuih talam ini hanya boleh didapati pada bulan puasa sahaja dan hanya dua jenis lagi pula boleh didapati di kedai kami pada hari biasa," katanya.

Selain itu, Ishammudin turut berkongsi cabaran yang dihadapi mereka dalam menjual kuih talam ini apabila harga santan dan kelapa meningkat bagaimanapun dengan sokongan dan pembelian yang tidak putus-putus daripada pelanggan membuatkan kedainya masih mampu mengekalkan harga sebiji kuih talam pada harga RM0.60.

Dalam pada itu, Rahmah berkata, dia mula belajar membuat kuih talam ini sewaktu tinggal bersama neneknya ketika kecil.

"Sebelum ini, saya pernah buat kuih kering dan membuka katering namun lama kelamaan disebabkan faktor usia saya tidak mampu dan hanya kekal menghasilkan kuih talam sahaja.

"Kuih ini bukan sahaja diminati masyarakat Melayu, tapi turut digemari kaum India dan Cina sehingga ada antara mereka yang akan membuat tempahan untuk pelbagai acara," katanya.

Pelanggan kuih talam Cik Mah ini terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan bangsa yang sanggup beratur panjang bagi mendapatkan kuih talam kegemaran mereka.

Sementara itu, seorang pelanggan Norashikin Saidin, 43, berkata dia dan ahli keluarganya mula membeli kuih talam berkenaan sejak dulu lagi dan kini anaknya pula menjadi penggemar kuih talam buatan Cik Mah.

"Apabila tiba bulan Ramadan saya dan anak-anak memang menunggu untuk membeli kuih talam hasil tangan Cik Mah ini sebab rasa seperti mak-mak kita dulu buat, dan kuih ini juga menjadi menu wajib yang harus ada sewaktu berbuka puasa.

"Kami memang sanggup beratur panjang untuk dapatkan kuih ini sebab kalau bulan puasa ada bermacam-macam jenis berbanding hari biasa. Macam saya suka puding jagung, anak-anak pula seri muka dan kalau mak saya pula suka talam ubi. Semua ini memang wajib beli," katanya. – BERNAMA


Sumber: BH Online

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-2-2026 10:54 AM GMT+8 , Processed in 0.971457 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list