|
|
KUALA TERENGGANU: Sebelum tiba Ramadan, Adnan Husain, 70, yang juga satu-satunya pembuat songkok buatan tangan di Terengganu, sudah menyiapkan kira-kira 300 songkok bagi memenuhi permintaan pelanggannya.
Katanya, stok songkok perlu dihasilkan lebih awal memandangkan dalam sehari dia kini hanya mampu menyiapkan dua songkok saja.
Katanya, faktor usia menyebabkan dia tidak mampu menyiapkan tujuh songkok sehari seperti biasa dilakukan sebelum ini.
"Dulu apabila tiba Ramadan, saya akan membuat songkok pada siang dan malam selepas pulang solat Tarawih.
"Namun kini saya hanya buat songkok pada siang hari saja dan setiap songkok dijual dengan harga RM120," katanya ketika ditemui di kedai membuat songkoknya di Kampung Losong Masjid, dekat sini.
Adnan berkata, permintaan songkok semakin meningkat menjelang Ramadan, menyebabkan dia perlu membuat persiapan menghasilkan stok songkok pelbagai saiz dan ketinggian yang diperlukan pelanggan.
"Saya mula membuat songkok secara manual sejak lebih 40 tahun lalu dan paling merunsingkan adalah kemahiran itu tidak mendapat minat pihak lain untuk diketengahkan.
"Hanya saya seorang saja di negeri ini yang masih menghasilkan songkok secara manual dan permintaannya amat tinggi terutama pada Ramadan," katanya.
Adnan berkata, songkok buatan tangan dihasilkannya berbeza dengan songkok dihasilkan kilang kerana seni jahitan yang halus menggunakan fabrik berkualiti tinggi.
"Seni pembuatan songkok secara manual mungkin berkubur di bumi Terengganu jika saya bersara selepas ini.
"Membuat songkok memerlukan teknik dan kaedah tersendiri, mungkin itu yang mengakibatkan pembuatan songkok tidak diminati generasi muda.
"Jika ramai ada kemahiran membuat songkok ini, Ramadan menjadi lubuk rezeki kerana permintaan terhadap songkok meningkat berbanding hari biasa kerana aksesori ini diperlukan bagi pemakaian baju Melayu di hari lebaran," katanya.
Sumber: BH Online
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|