
Lokasi mangsa dipercayai menjala ikan sebelum hilang di Sungai Kemena, Bintulu, pada Isnin.
BINTULU: Seorang lelaki dikhuatiri hilang semasa menjala ikan berhampiran sebuah rumah pekerja di Sungai Kemena dekat sini, petang Isnin.
Menurut Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, semasa kejadian mangsa yang dikenali sebagai David Gira, 49, keluar menjala ikan sekitar jam 5.30 petang.
"Namun beliau tidak balik ke rumah meskipun hari sudah beransur gelap sebelum laporan polis dibuat bagi membantu siasatan berhubung kehilangan mangsa," ujarnya.
Polis kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berhubung laporan kehilangan mangsa hari ini, sekali gus membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa pada hari pertama.
Sehubungan itu ujarnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu bergegas ke lokasi bagi memulakan SAR.
Operasi SAR hari ini katanya, menggunakan teknik pencarian di permukaan.
Setakat ini jelasnya, belum terdapat sebarang perkembangan atau petanda terbaharu berhubung pencarian mangsa.
"Sebarang perkembangan berhubung usaha SAR akan dimaklumkan dari masa ke masa," tambah beliau.
|