Gambar lelaki berkayak ditelan ikan paus ‘humpback’ sebelum memuntahkan semula di perairan pantai selatan Chile
SANTIAGO: Seorang lelaki sedang berkayak terselamat daripada insiden ngeri apabila didatangi seekor ikan paus 'humpback' dan tiba-tiba menelannya sebelum memuntahkannya beberapa saat kemudian di perairan pantai selatan Chile.
Adrian Simancas sedang berkayak bersama bapanya pada hujung minggu lalu di perairan berhampiran bandar Punta Arenas apabila seekor paus 'humpback' muncul dan menelannya.
"Tiba-tiba saya mendapati seakan seperti diangkat oleh sesuatu seakan ombak. Saya merasakan sesuatu berwarna biru dan putih melintas dekat dengan muka saya, seperti di sebelah dan di atas.
"Saya panik dengan apa yang sedang berlaku. Kemudian saya hanya sedar seperti sudah tenggelam dan ditelan," kata Andrian.
Kejadian itu sempat dirakam oleh bapanya, Dell Simancas, yang berada dalam kayak lain.
"Saya keluarkan kamera dan terdengar bunyi ombak menghempas di belakang saya dengan kuat. Apabila saya berpaling, saya tidak nampak apa-apa.
"Jadi, itulah detik menakutkan kerana saya tidak melihat Adrian selama kira-kira tiga saat. Kemudian dia tiba-tiba terpelanting keluar tanpa kayak, dan beberapa saat kemudian kayaknya muncul, dan kemudian saya melihat sirip ikan paus berkenaan," katanya.
Adrian berkata, beliau beranggapan bahawa akan mati semasa kejadian tersebut.
"Saya fikir saya sudah mati. Ia seperti tiga saat yang pelik di bawah sana," katanya. - REUTERS
|