Paris: Parlimen Perancis pada hari Khamis telah mengundi untuk mengharamkan rokok elektronik pakai buang, yang dianggap sebagai pintu masuk kepada ketagihan tembakau bagi remaja dan berbahaya kepada alam sekitar.
Rang undang-undang itu telah diluluskan oleh parlimen Perancis dengan undian akhir di Dewan Senat.
Perancis kini menjadi negara kedua dalam Kesatuan Eropah selepas Belgium yang memperkenalkan larangan sedemikian.
Rokok elektronik pakai buang yang telah diisi terlebih dahulu, yang dikenali sebagai 'puffs' popular dalam kalangan golongan muda, boleh mengandungi kandungan nikotin yang tinggi, tersedia dalam pelbagai perisa seperti epal, tembikai, dan kola serta dijual pada harga murah.
"Ia adalah satu kemenangan besar dalam dua perjuangan yang kami usahakan: perjuangan alam sekitar menentang bateri litium yang mencemarkan dalam 'puffs' (panggilan terhadap rokok elektronik ini) dan perjuangan kesihatan untuk pelajar sekolah kita," kata ahli parlimen Francesca Pasquini kepada AFP.
Sementara itu merujuk kepada Presiden Emmanuel Macron, ahli parlimen Michel Lauzzana di platform X menambah: "Kami kini menunggu pengisytiharan undang-undang ini dan pelaksanaannya di seluruh negara."
Perundangan ini telah diluluskan lebih awal oleh Dewan Negara.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada kempen anti-merokok kerajaan yang lebih luas.
Pihak berkuasa kesihatan di Perancis dan Belgium menyatakan bahawa pengambilan nikotin secara kronik amat berbahaya kepada perkembangan otak remaja dan boleh mendorong penggunaan dadah lain.
Pada Disember 2024, Belgium telah meluluskan undang-undang untuk menjadi negara pertama dalam Kesatuan Eropah yang mengharamkan rokok elektronik pakai buang.
Kesatuan Eropah menyasarkan untuk mencapai generasi bebas tembakau menjelang 2040, dengan mengurangkan populasi perokok dalam blok 27 negara itu daripada sekitar 25 peratus kini kepada kurang daripada lima peratus daripada jumlah
|