CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 20234|Reply: 0

Kereta api laju di China sediakan gerabak kanak-kanak, lengkap dengan mainan dan buku

[Copy link]
Post time 8-2-2025 10:24 AM | Show all posts |Read mode

GERABAK kanak-kanak ini tular di sebuah platform media sosial utama di China. FOTO China Daily

Shanghai: Operator perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi di selatan China menerima pujian besar kerana melancarkan gerabak khas untuk penumpang kanak-kanak, dilengkapi dengan buku kartun dan mainan percuma, lapor South China Morning Post (SCMP).

'Gerabak kanak-kanak' ini dimasukkan ke dalam perkhidmatan kereta api, termasuk perjalanan selama 11 jam antara Xiamen di wilayah Fujian dan Beijing serta laluan dua jam dari Nanchang di Jiangxi ke Changsha di Hunan tengah, menurut penyiar negara CCTV.

Sebelumnya, ia kawasan makan untuk penumpang yang membeli makanan dalam kereta api, namun gerabak ini diubah suai sementara bagi menampung kanak-kanak yang boleh menggunakan perkhidmatan ini secara percuma.

Selain buku berwarna-warni dan mainan seperti kiub magik serta bongkah lego, pengendali kereta api turut menganjurkan permainan dan mengadakan ceramah pendidikan sains mudah yang dikendalikan oleh kakitangan muda dan mesra, menurut laporan itu.

Pengubahsuaian gerabak ini memenuhi keperluan ibu bapa melakukan perjalanan bersama anak kecil ketika pulang ke kampung halaman bagi menyambut Tahun Baharu Cina, yang jatuh pada 29 Januari tahun ini.

"Anak saya seronok bermain dengan gembira dalam gerabak kanak-kanak ini," kata seorang ibu, Huang.

"Dengan adanya perkhidmatan khas ini, saya tidak lagi berasa sepenat dahulu ketika menaiki kereta api bersama anak saya. Saya juga tidak perlu risau tentang bunyi bising yang dibuatnya atau aduan daripada penumpang lain mengenai anak saya yang aktif," katanya.

Seorang lagi wanita, Chen turut meluahkan penghargaan terhadap gerabak khas ini, sambil menyifatkan ia membolehkannya menikmati perjalanan dengan lebih santai.

"Anak perempuan saya sukar untuk duduk diam dalam tempoh yang lama. Kini, dengan adanya buku, mainan dan juadah dalam gerabak yang meriah dengan semangat Tahun Baharu Cina, anak saya sangat suka bermain di sini. Saya juga dapat menikmati perjalanan dengan lebih santai," katanya.

"Terlalu seronok di sini. Saya melukis gambar, menyusun teka-teki jigsaw, dan menikmati snek. Saya rasa sangat gembira," kata kanak-kanak, seorang murid sekolah rendah.

Kisah mengenai gerabak kanak-kanak ini meraih 40 juta tontonan di sebuah platform media sosial utama di tanah besar China, selain ia diterima baik pengguna di seluruh negara.

"Ia adalah satu inisiatif yang sangat prihatin. Ia bukan sahaja memenuhi keinginan penumpang lain untuk suasana tenang, tetapi juga mengikut kehendak semula jadi kanak-kanak yang suka bermain.

"Gerabak kanak-kanak ini sepatutnya diperkenalkan di seluruh negara," kata seorang pemerhati dalam talian.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-2-2026 07:22 PM GMT+8 , Processed in 0.047461 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list