Jenazah suami isteri maut dalam kemalangan di Thailand, selamat dikebumikan
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Januari 28, 2025 @ 8:29am [email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhkebumi28_1738026480.jpg)
Gambar kiri, Mohd Danial Ikmal dan adiknya Mohd Danial Irfan menyiram air di pusara ibu bapa mereka yang dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Masjid 'Ulum Merbau Pulas selepas selamat dikebumikan jam 5.30 pagi tadi. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
KULIM: Jenazah pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Chumphon, Thailand, semalam selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Masjid Darul 'Ulum Merbau Pulas, jam 5 pagi tadi.
Pasangan itu terbabit dalam kemalangan selepas motosikal berkuasa tinggi GTR 1400 yang dinaiki mereka terbabas.
Jenazah Mohd Sofi Ismail, 43, dan isteri Zaimima Ismail, 43, dikebumikan jam 5.30 pagi tadi dengan dihadiri lebih 200 orang termasuk ahli keluarga dan sahabat serta Geng Santai Utara (GTU).
Terdahulu, jenazah pasangan itu dibawa keluar dari Thailand jam 1.10 pagi sebelum dibawa ke rumah ibu Zaimima di Kampung Baru Jemerli, Merbau Pulas untuk penghormatan terakhir ahli keluarga.
Dua anak pasangan itu, Mohd Danial Ikmal Mohd Sofi, 21, dan adiknya Mohd Danial Irfan, 13, turut berada di sisi jenazah ibu bapa mereka.
Dalam kejadian jam 9 pagi (waktu tempatan semalam), Mohd Sofi Ismail dan isteri, Zaimima Ismail masing-masing berusia 43 tahun meninggal dunia di lokasi.
Perkhabaran kemalangan maut itu dikongsikan oleh Muhammad Arashid Ramli, 39, yang juga rakan baik pasangan itu.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1354521/jenazah-suami-isteri-maut-dalam-kemalangan-di-thailand-selamat
|