Iskandar (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Mohamad Morshidi semasa menghadiri mesyuarat bersama SDEC.
BINTULU: Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) akan meluaskan liputan Internet melalui Program Starlink di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N67 Jepak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, kepentingan inisiatif ini untuk meningkatkan capaian Internet di kawasan luar bandar dan pedalaman di DUN Jepak.
"Ia merupakan salah satu langkah penting ke arah pembangunan digital masyarakat," katanya dalam hantaran di laman Facebooknya semasa menghadiri Mesyuarat Penyediaan Liputan Internet Program Starlink di DUN N67 Jepak di Kuching pada Khamis.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Pengerusi SDEC Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Dato Ir Ts Sudarnoto Osman dan pegawai-pegawai SDEC.
Iskandar berkata, fokus utama perbincangan adalah memperincikan keperluan teknologi dan strategi untuk melaksanakan program ini dengan segera terutama bagi kawasan yang masih menghadapi masalah capaian Internet.
Beliau berkata, hasil mesyuarat ini diharap dapat mempercepatkan penyediaan infrastruktur yang diperlukan, sekali gus merapatkan jurang digital dan meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan Jepak.
|