SIBU: Pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Rumah Steven di Tatau semalam telah meningkatkan jumlah PPS yang aktif di Sarawak kepada dua.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak setakat jam 8.00 pagi ini, dua PPS tersebut ialah PPS Dewan Rumah Dayak di Saratok dan PPS Rumah Steven di Tatau, yang menempatkan keseluruhan 100 mangsa banjir.
PPS Dewan Rumah Dayak, yang dibuka pada 19 Januari lalu, kini menampung 90 mangsa daripada 21 keluarga, manakala PPS Rumah Steven menempatkan 10 mangsa.
JPBN Sarawak turut memaklumkan bahawa 26 lokasi berisiko banjir di seluruh negeri sedang dipantau oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan keselamatan penduduk.
Keadaan semasa banjir akan terus dikemas kini oleh pihak JPBN Sarawak.
|