Kawasan sekolah yang dinaiki air kira-kira jam 6 petang Khamis, telah surut sepenuhnya pagi ini.
SELANGAU: Paras air di kawasan rendah Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Kua, yang sebelum ini dinaiki air akibat hujan lebat, kini telah surut sepenuhnya.
Pemantauan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangau pagi ini mengesahkan bahawa keadaan kembali terkawal.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Selangau, Lt. (PA) Luke Douglas Dongum, tinjauan yang dilakukan dari pukul 7.10 pagi hingga 7.51 pagi mendapati kawasan sekolah tidak lagi mengalami masalah air bertakung.
"Walaupun paras air telah surut, pihak APM menasihatkan pihak sekolah untuk bersiap sedia berpindah ke kawasan lebih tinggi sekiranya hujan berterusan, yang berpotensi menyebabkan paras air meningkat semula.
"Setakat ini, tiada pusat pemindahan dibuka kerana sekolah sedang dalam cuti tahunan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, APM Selangau akan terus melakukan pemantauan di kawasan-kawasan lain yang berisiko dinaiki air, khususnya di Selangau dan Ulu Mukah.
Penduduk setempat diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan segera melaporkan sebarang kenaikan paras air kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Pada petang Khamis lalu, hujan lebat berterusan telah menyebabkan paras air di kawasan rendah SK Nanga Kua meningkat antara 0.85 meter hingga 1.20 meter.
Pemantauan pagi ini mengesahkan keadaan kembali terkawal.
Keadaan tersebut menjejaskan enam bilik guru dan satu dewan makan di sekolah berkenaan. Seramai dua guru, tiga anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dan empat pekerja swasta yang berada di lokasi ketika itu berpindah sementara ke bangunan kelas yang lebih tinggi bagi memastikan keselamatan mereka.
Pasukan APM Selangau bertindak segera dengan menjalankan pemantauan bermula pukul 5.54 petang hingga 8.00 malam menggunakan pelbagai aset, termasuk sebuah lori, sebuah ambulans pacuan empat roda, enam jaket keselamatan dan dua alat pengukur air.
|