Operasi SAR masih belum menemui petunjuk mangsa yang dikhuatiri lemas sejak 16 Januari lalu.
KANOWIT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mangsa yang dikhuatiri lemas, Lau King Hock, 29, di Sungai Rajang berhampiran Jeti Sedaya, akan dilanjutkan sehingga esok.
Keputusan ini dibuat hasil perbincangan antara pasukan SAR, pihak polis dan keluarga mangsa.
Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon 4 Sibu Andy Alie memaklumkan bahawa operasi pencarian hari ini diteruskan di kawasan hilir sungai menggunakan kaedah pencarian di permukaan air meliputi kawasan sejauh 23 hingga 27 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
“Operasi SAR akan diteruskan sehingga Jumaat ini berdasarkan persetujuan bersama antara pasukan SAR, pihak polis dan keluarga mangsa.
"Bagaimanapun, semua tindakan bergantung kepada keadaan cuaca dan arahan daripada pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi.
Mangsa dilaporkan hilang sejak 16 Januari lalu selepas perahu miliknya ditemui hanyut berhampiran jeti sekitar jam 11 pagi.
Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa menghantar isterinya ke Hospital Kanowit untuk pemeriksaan kandungan.
Operasi SAR yang memasuki hari kelapan hari ini melibatkan pelbagai agensi termasuk pihak polis, Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).
“Setakat ini, pencarian masih belum menemui sebarang petunjuk baharu namun usaha akan diteruskan dengan fokus di kawasan yang berpotensi tinggi, termasuk di sekitar Pulau Dudong dan Keladi,” tambah Andy.
|