LEMAS: Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
KENINGAU: Remaja lelaki lemas ketika mandi bersama rakan di sungai Kampung Kamansi, Bingkor, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sharudy Delamin berkata, mangsa berumur 15 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, panggilan kejadian itu diterima pada jam 4.50 petang.
“Sepasukan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Setiba di lokasi, pasukan bomba mendapatkan maklumat sebelum menjalankan operasi SAR.
"Mangsa akhirnya ditemukan oleh pasukan bomba jam 5.48 petang di lokasi mangsa dilaporkan lemas," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada pengadu, mangsa dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti mandi-manda di sungai bersama rakan-rakannya.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 7.03 malam," katanya.
|