CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3580|Reply: 0

[Sabah] Hajiji ingatkan pemimpin pembangkang supaya tidak hina orang Sabah

[Copy link]
Post time 27-1-2025 10:31 AM | Show all posts |Read mode


JELAJAH: Hajiji bersama para pemimpin dan ahli-ahli parti komponen GRS pada program Jelajah Sayangi Sabah Zon 6 di Dataran Keningau.

KENINGAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menempelak sikap pemimpin pembangkang dari Semenanjung yang menganggap pemimpin dan rakyat negeri ini sebagai 'palui' ketika datang berceramah di sini.

Beliau menegaskan, perbuatan itu adalah satu penghinaan kepada pemimpin dan rakyat Sabah yang sentiasa berpegang kepada amalan berpolitik secara sopan dan mementingkan keharmonian.

Katanya, pemimpin yang bersikap seperti itu tidak wajar datang ke Sabah kerana budaya berpolitik di Semenanjung yang dibawa mereka tidak sesuai dengan budaya politik yang diamalkan di negeri ini.

"Banyak pemimpin dari seberang datang, saya beritahu mereka, kalau datang mesti sopan santun datang negeri kita, jangan bawa perangai dari sana ke Sabah yang harmoni dan aman damai ini.

"Saya mahu beritahu Hamzah Zainudin jangan hina orang Sabah, jangan hina pemimpin Sabah," katanya ketika berucap pada Program Jelajah Sayangi Sabah Zon 6 di Dataran Keningau, di sini hari ini.

Program Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Zon 6 Keningau itu dihadiri kira-kira 10,000 rakyat dan penyokong GRS dari sekitar Keningau dan daerah berhampiran.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan dan Timbalan Ketua Menteri yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.

Antara pemimpin GRS lain yang turut hadir ialah Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman serta pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).

Hajiji yang juga Pengerusi GRS merujuk ucapan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menyebut pemimpin dan rakyat Sabah sebagai 'palui' ketika berucap dalam satu program PN di Sepanggar, baru-baru ini.

Hajiji berkata, Sabah tidak memerlukan pemimpin bersikap seperti itu dan mereka tidak sewajarnya datang ke negeri ini untuk membawa budaya berpolitik dari Semenanjung.

"Kita tidak mahu pemimpin seumpama ini. Walaupun kita meraikan demokrasi, tapi budaya orang Sabah lain dengan sebelah sana (Semenanjung). Kalau sana maki hamun, makilah kamu, tapi jangan bawa ke Sabah," katanya.

Sehubungan itu, Hajiji menggesa rakyat berbilang etnik, kepercayaan dan keturunan di negeri ini supaya bersatu hati menjaga keharmonian dan menyokong GRS yang menggabungkan lapan parti tempatan demi kebaikan Sabah.

"Kerana itulah saya ingin merayu kepada rakyat kita yang berbilang kaum dan kepercayaan ini, marilah kita bersatu hati dan sokonglah GRS yang terdiri daripada parti tempatan kita," katanya.

Beliau yakin gabungan itu mampu memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang tidak lama lagi kerana menyifatkan lapan parti tempatan yang bersama GRS cukup mantap untuk berdepan saingan lawan.

"Kalau lapan parti sudah bergabung ini, saya tidak percaya kita boleh kalah pada PRN nanti, tidak mungkin. Dengan kejayaan dan pencapaian kita empat tahun ini tidak mungkin kita gagal pada PRN ini.

"Apa yang penting kita bersatu hati, walaupun berlainan pandangan, kita raikan, kita hormati. Tapi bila buat keputusan, kita satu hati kerana itulah yang akan membawa kejayaan kepada kita pada PRN akan datang," katanya.

Beliau juga mengingatkan rakyat Sabah supaya tidak terpengaruh dengan dakyah yang disebarkan di media sosial mengenai pelbagai dakwaan buruk terhadap GRS dan kerajaan negeri sekarang.

Katanya, GRS mempunyai rekod pentadbiran yang baik berdasarkan pelbagai kejayaan yang dicapai sepanjang lebih empat tahun memerintah dan wajar diberi mandat semula bagi meneruskan agenda pembangunan yang dirancang menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bermula 2026 hingga 2030.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengulangi pendiriannya mengenai strategi politik yang harus dilaksanakan kerajaan negeri iaitu berbaik dengan Kerajaan Persekutuan.

"Dalam kita berpolitik kita mesti ada strategi. Kita kena baik juga dengan Persekutuan. Kita dalam negara Malaysia, negeri mesti kerjasama dengan persekutuan.

Kita mesti belajar apa berlaku pada masa lalu apabila kita tidak kerjasama dengan persekutuan, apa jadi kepada USNO dan PBS pada waktu itu, kita kena belajar pengalaman lalu.

"Malaysia negara kita dan Sabah negeri kita, saya setuju kita mesti jaga Sabah sebagai rumah kita, tapi kita mesti bersama dengan Kerajaan Persekutuan supaya kita dapat tuntut apa yang menjadi hak kita," katanya.

Pada majlis itu, Hajiji turut mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi membina sebuah Mini Konvensyen Centre di Keningau untuk kemudahan rakyat di daerah ini dan kawasan pedalaman.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-1-2025 11:48 PM GMT+8 , Processed in 0.072807 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list