Sampel telah diambil untuk mengetahui punca kematian kesemua mamalia itu. - Foto Agensi
BOSASO - Lebih 100 bangkai ikan lumba-lumba ditemui terdampar di pantai wilayah separa autonomi Puntland di Somalia.
Punca kematiannya dikatakan misteri berikutan siasatan masih dijalankan.
Menteri Perikanan, Abdirisak Abdulahi Hagaa berkata, kira-kira 110 ikan lumba-lumba dijumpai 'mati beramai-ramai' tidak jauh dari Pelabuhan Bosaso.
"Sampel telah diambil untuk mengetahui punca sebenar. Tiada kesan luka akibat tersangkut pada pukat atau objek lain. Ia terus mencetuskan persoalan," ujarnya.
Pihak berkuasa juga tidak percaya ia disebabkan oleh bahan toksik kerana terdapat spesies marin lain di kawasan sama.
Insiden tersebut turut menarik perhatian penduduk setempat yang mahu menyaksikan bangkai ikan yang semakin membusuk itu. - Agensi
|