Patung marmar berusia 2,000 tahun dari zaman Helenistik yang ditemukan berbalut dalam beg sampah dan dibuang berhampiran tong sampah di Thessaloniki - Foto: Agensi
ISTANBUL - Pihak berkuasa Greece mengumumkan penemuan patung marmar berusia 2,000 tahun dari zaman Helenistik, yang ditemukan berbalut dalam beg sampah dan dibuang berhampiran tong sampah di Thessaloniki, bandar raya kedua terbesar di negara itu.
Seorang lelaki berusia 32 tahun menyerahkan artifak purba itu kepada Jabatan Siasatan Jenayah dan Pendakwaan Thermaikos pada petang 18 Jan, lapor Agensi Anadolu (AA) berdasarkan kenyataan media polis.
Menurut polis, lelaki itu "mendakwa menemukan (patung) itu di dalam beg hitam berhampiran tong sampah."
Patung marmar putih itu berbentuk bahagian badan seorang wanita tanpa lengan dan kepala, dengan gaun labuh beralun.
Seorang ahli arkeologi Ephorate of Antiquities, yang memeriksa artifak, mengesahkan patung itu berasal dari zaman Helenistik yang menjangkau dari 323 SM hingga 31 SM.
Pejabat Perlindungan Warisan Budaya merampas artifak itu dan siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada patung itu dikaitkan dengan pemerdagangan artifak haram.
Subdirektorat Jenayah Terancang Utara Greece sedang menjalankan siasatan awal ke atas kes ini," dan disahkan oleh polis.
Patung itu akan dihantar ke Subdirektorat Penyiasatan Forensik Utara Greece untuk analisis makmal yang terperinci. Setelah itu ia akan dijaga oleh Ephorate of Antiquities untuk penilaian dan pemeliharaan selanjutnya. - Bernama
|