Operasi pencarian mangsa dikhuatiri lemas di Batang Rajang pada hari ketujuh SAR hari ini belum berhasil.
KANOWIT: Hari ketujuh operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang hilang di Batang Rajang berhampiran Jeti Sekolah Menengah (SMK) Sedaya diteruskan hari ini.
Mangsa, Lau King Hock, 29, dilaporkan hilang pada 16 Januari lalu selepas menghantar isterinya ke Hospital Kanowit.
Perahunya ditemui hanyut oleh orang awam pada hari kejadian sekitar jam 11 pagi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Andy Alie berkata, operasi hari ini melibatkan lima anggota bomba bersama pelbagai agensi lain termasuk PDRM, Polis Marin, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Pasukan SAR menggunakan pelbagai jenis bot untuk memperluas kawasan pencarian walaupun menghadapi cabaran seperti arus deras.
"Kami akan meneruskan usaha sehingga mangsa ditemui," ujarnya dalam kenyataan media.
Katanya, pasukan SAR akan terus berusaha sebaik mungkin dengan bantuan semua agensi terlibat.
"Kami juga menyeru orang awam yang mungkin mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu," ujar Andy lagi.
Sehingga jam 1 petang tadi, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR akan diteruskan.
Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
|