OPERASI: Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat di lokasi kejadian.
KUNAK: Seorang wanita cedera selepas kereta yang dinaiki bersama enam individu lain terbabas di Jalan Bukit Ular, di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi, mangsa berusia 46 tahun mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak Mohamad Omarbatha berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.01 pagi.
Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta pelbagai guna (MPV) terbabas sendiri di bahu jalan.
“Terdapat tujuh mangsa terlibat telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, namun hanya seorang sahaja yang mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum diserahkan kepada pihak ambulan untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 1.50 pagi,” katanya.
|