Edited by tari at 22-1-2025 04:53 PM
Gambar hiasan. - Foto AFP
SANAA: Sekurang-kurangnya 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) Ethiopia maut apabila bot mereka dari Djibouti terbalik dan karam di luar pantai Yaman, kata Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) semalam.
Tragedi itu berlaku pada Sabtu, mengorbankan 20 PATI Ethiopia, termasuk sembilan wanita dan 11 lelaki.
Bot berkenaan membawa 35 PATI dari Ethiopia bersama seorang kapten dan pembantunya dari Yaman, menurut kenyataan badan migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Menurut IOM, bot tersebut karam di luar kawasan barat daya Taiz, Yaman, akibat angin kencang bermusim.
Perairan pantai Yaman dikenal pasti sebagai salah satu laluan migrasi paling berbahaya di dunia. IOM mencatat lebih 60,000 ketibaan migran di Yaman pada tahun 2024.
Kebanyakan migran Ethiopia merentasi Yaman dengan cita-cita untuk sampai ke negara-negara Teluk, didorong oleh konflik dalaman, perubahan iklim, dan kekurangan peluang ekonomi, menurut badan PBB itu.
Migran sering berdepan eksploitasi, keganasan, dan keadaan yang mengancam nyawa sepanjang perjalanan, kata IOM.
Ketua Misi IOM di Yaman, Abdusattor Esoev, menyifatkan tragedi itu sebagai 'peringatan suram mengenai bahaya yang sanggup dihadapi PATI dalam usaha mencari perlindungan dan kehidupan yang lebih selamat'.
"Walaupun hanya satu nyawa yang hilang, ia sudah 'terlalu banyak'. Masyarakat antarabangsa mesti memperkukuh tekad untuk menangani punca utama migrasi tidak teratur dan memberi keutamaan kepada perlindungan serta maruah PATI," tambahnya.
Sejak 2014, agensi PBB itu telah merekodkan 3,435 kematian dan kehilangan di sepanjang laluan ke Yaman, termasuk 1,416 kehilangan nyawa akibat lemas.
Yaman dilanda perang sejak 2014, apabila pemberontak Houthi memaksa kerajaan yang diiktiraf antarabangsa keluar dari Sanaa. Pemberontak yang disokong Iran itu turut menguasai pusat-pusat berpenduduk padat di utara negara berkenaan. - AFP
|