![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250121/kch-ub210125-jw-syariah-p2.jpg)
Perarakan Keluar Ketua Hakim Syarie Sarawak dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Sarawak. - Gambar Penerangan
KUCHING: Integriti teras utama dalam kehakiman syariah dan menjadi tonggak kepercayaan masyarakat terhadap sistem perundangan.
Demikian menurut Ketua Hakim Syarie Sarawak Datu Awang Suhaili Ledi dalam ucapannya semasa Persidangan Mahkamah Syariah Terbuka sempena Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak 2025 di Dewan Majma' Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini, hari ini.
"Tanpa integriti, keadilan tidak akan dapat ditegakkan.
“Oleh itu, semua pihak yang terlibat dalam sistem kehakiman syariah, dari hakim hingga kepada kakitangan sokongan serta pendakwa syarie, penguat kuasa agama dan peguam syarie, perlu memastikan bahawa nilai-nilai kejujuran, ketelusan dan tanggungjawab sentiasa diutamakan dalam setiap tindakan dan keputusan yang dibuat," katanya semasa berucap.
Beliau juga menyentuh mengenai Transformasi dan Digitalisasi Dalam Penghakiman dan antara elemen penting yang akan diperkenalkan ialah konsep kecerdasan buatan (AI) dalam penghakiman melalui Sistem I-Syariah.
"Dengan bantuan AI, kita mampu meningkatkan ketepatan dan kecekapan keputusan dan penghakiman bagi sesuatu kes berlandaskan prinsip undang-undang dan hukum syarak, selari dengan transformasi digital yang semakin mendominasi dunia,” katanya.
Beliau juga menekankan bahawa teknologi sahaja tidak mencukupi namun integriti dan amanah adalah teras yang perlu dipegang teguh.
"Semua pegawai perlu memastikan setiap keputusan yang dibuat berlandaskan keadilan, tanpa dipengaruhi oleh sebarang bentuk kepentingan," tegasnya.
Terdahulu, upacara perarakan yang disertai seramai 520 peserta yang terdiri daripada para pengamal undang-undang syariah sebelum Persidangan Mahkamah Syariah Terbuka dilangsungkan semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Dato Mohd Amran Mat Zain, hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah Sarawak dan negeri- negeri, panel-panel hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan pengamal undang-undang syariah.
|