![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250122/kesmahkamah.jpg)
SIBU: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara sebulan serta denda RM500 atau penjara tujuh hari terhadap seorang peniaga atas pertuduhan memiliki pelbagai jenis rokok, bir, minuman keras dan mercun yang diperolehi secara haram.
Tertuduh, Ling Tiew Sing, 44, diperintah menjalani hukuman penjara sebulan itu bermula daripada tarikh penjatuhan hukuman.
Mengikut pertuduhan, Ling dituduh memiliki 3,386 karton rokok pelbagai jenis, 80 kotak pelbagai bir, 53 botol pelbagai minuman keras dan 202 pek pelbagai mercun yang diperolehi secara haram di sebuah rumah Lorong Rantau Panjang Jaya 3M pada 29 Ogos 2024, jam lebih kurang 7.40 pagi.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan dan denda hingga RM500.
Berdasarkan fakta kes, pada 29 Ogos 2024 kira-kira jam 7.40 pagi, pengadu yang mengetuai anggota Pasukan Gerakan Am Sibu telah memeriksa sebuah kenderaan pacuan dan sebuah rumah di Lorong Rantau Panjang Jaya 3M milik tertuduh yang disyaki tempat menyimpan barangan seludup.
Hasil pemeriksaan mereka telah menjumpai 166 karton bir, tujuh kotak rokok serta lima botol minuman keras pelbagai jenis di dalam kenderaan pacuan empat roda yang diparkir di hadapan rumah.
Pemeriksaan lanjut di dalam rumah telah menjumpai 3,220 karton rokok, 73 kotak bir, 48 botol minuman keras dan 202 pek mercun pelbagai jenis.
Pengadu kemudian meminta tertuduh mengemukakan sebarang dokumen bagi pemilikan barangan tersebut namun gagal.
Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati kenderaan serta rumah tersebut adalah milik tertuduh.
Kesemua barangan yang dirampas itu merupakan stok barang untuk dijual di kedai serbaneka milik tertuduh.
|