Laluan utama di Belaong, Awik, di sini terganggu akibat kejadian tanah susur yang berlaku pada Selasa. - Gambar APM
Kejadian dipercayai berpunca daripada tanah mendap akibat hakisan sungai di kawasan itu. - Gambar APM
SIBU: Laluan utama di Belaong, Awik, di sini terjejas akibat kejadian tanah susur yang berlaku, semalam.
Insiden tersebut menyebabkan bahagian kiri jalan tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan manakala bahagian kanan hanya boleh digunakan oleh kenderaan ringan.
Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Saratok hari ini, kejadian itu dipercayai berpunca daripada tanah mendap akibat hakisan air sungai di kawasan tersebut.
Anggota APM memasang tali penghadang untuk tujuan keselamatan. - Gambar APM
“Panggilan kecemasan diterima oleh Bilik Gerakan APM Saratok pada hari kejadian, dan tiga anggota telah dikerahkan ke lokasi untuk tindakan segera.
“Setibanya di lokasi, anggota APM mengesahkan kerosakan pada jalan utama dan terus mengambil langkah keselamatan dengan memasang tali penghadang serta tanda amaran tanah runtuh,” kata kenyataan itu.
Kejadian ini telah menjejaskan laluan penduduk kampung sekitar Awik, Saratok dan dalam masa sama pengguna jalan raya dinasihatkan untuk berhati-hati dan menggunakan laluan alternatif jika perlu.
Orang awam yang menghadapi sebarang kecemasan diminta segera menghubungi APM Saratok di talian 011-31413012, 083-436094, atau talian kecemasan 999.
Insiden tersebut menyebabkan bahagian kiri jalan tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan. - Gambar APM
https://www.utusanborneo.com.my/2025/01/22/laluan-utama-belaong-awik-terjejas-akibat-tanah-susur
|