CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5707|Reply: 0

[Sarawak] Abang Johari seru pakar perundangan Islam teliti nilai tanah dan aset wakaf

[Copy link]
Post time 22-1-2025 02:47 PM | Show all posts |Read mode


Abang Johari (tengah) diikuti yang lain menyempurnakan upacara memotong pulut kuning yang diadakan pada majlis tersebut sebagai tanda perhargaan dan tahniah daripada warga JKSS kepada Abang Johari sempena lapan tahun beliau memimpin dan menerajui Sarawak. – Gambar Chimon Upon

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru pakar-pakar perundangan Islam untuk meneliti nilai tanah dan aset wakaf sebagai langkah strategik dalam memperkukuhkan kedudukan ekonomi umat Islam.

Menurut beliau, tanah wakaf termasuk wakaf pertanian dan aset lain memiliki potensi besar untuk memberi kesan positif kepada ekonomi masyarakat Islam jika diuruskan dengan baik dan mengikut hukum syarak.

“Dengan sumber tersebut, kita sekurang-kurangnya boleh memperkuatkan kedudukan ekonomi orang Islam.

“Saya berharap pakar-pakar perundangan Islam dapat meneliti perkara ini dan membawa hasilnya kepada kerajaan untuk mencari penyelesaian kepada sumber harta orang Islam mengikut hukum syarak,” katanya menyampaikan amanat pada Majlis Makan Malam sempena Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak 2025 di Riverside Majestic di sini pada malam Selasa.

Abang Johari menambah, peluang memperkasa ekonomi masyarakat Islam dikukuhkan lagi dalam era pembangunan ekonomi masa kini yang berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu, termasuklah penggunaan tenaga boleh diperbaharui dengan pendekatan moden di Sarawak.

Justeru menurutnya, penggunaan teknologi baharu terutamanya AI mestilah diberikan keutamaan oleh pentadbiran Mahkamah Syariah.

“Tanpa teknologi, pentadbiran sistem kehakiman Islam boleh terencat dan seterusnya menghalang pelaksanaan keadilan yang merupakan suatu tuntutan agama. Ini adalah sebahagian daripada norma baharu dalam pentadbiran kehakiman Islam yang mesti diberikan tumpuan,” katanya.

Beliau dalam pada itu juga berharap agar Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) terus mencari inisiatif-inisiatif baharu untuk meningkatkan tadbir urus dalam penyampaian perkhidmatan.

“Ia khususnya berkaitan bidang kehakiman dan perundangan, agar selari dengan dasar kerajaan menuju ke arah e-Government,” katanya.

Kerajaan juga ujarnya, sentiasa komited dalam menyokong usaha-usaha yang boleh menyumbang ke arah meninggikan martabat institusi perundangan dan kehakiman syariah di Sarawak.

Jelas beliau, ia termasuk melakukan penambahbaikan secara berterusan terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah, perjawatan Hakim-hakim Syarie dan profesionalisme pegawai-pegawai mahkamah dari semasa ke semasa.

“Saya percaya penambahbaikan secara berterusan ini akan dapat melonjakkan imej institusi perundangan dan kehakiman syariah dalam menangani kes-kes yang semakin kompleks dan mencabar serta memenuhi keperluan masyarakat Islam secara keseluruhannya,” jelas Abang Johari.

Hadir sama semasa majlis, Ketua Hakim Syarie Sarawak Datu Awang Suhaili Ledi; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta tetamu kehormat lain.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

31-1-2025 04:39 AM GMT+8 , Processed in 0.042510 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list