Zulkipli bersama dua pegawai kanan menunjukkan dua jenis senjata tiruan yang dirampas di sebuah pusat beli-belah di Sibu.
SIBU: Sebanyak 25 pucuk pistol dan 35 laras raifal tiruan, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM35,000 telah dirampas oleh pihak polis dalam operasi khas yang dilaksanakan di sebuah pusat beli-belah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili menyatakan kebimbangan terhadap risiko senjata tiruan ini disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan ugutan jenayah.
“Senjata api tiruan ini dijual dengan harga antara RM200 hingga RM1,000 setiap satu.
"Walaupun ia bukan senjata sebenar, bentuk dan rupanya sukar dibezakan dan boleh digunakan untuk menakut-nakutkan orang awam atau dalam aktiviti jenayah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurut beliau, operasi khas yang dikenali sebagai Ops Laras telah dijalankan serentak di seluruh negeri selepas menerima aduan mengenai aktiviti penjualan senjata api tiruan kepada orang awam.
Susulan itu katanya, serbuan di premis terbabit turut membawa kepada penahanan dua individu iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berusia antara 29 dan 45 tahun yang merupakan pekerja dan pemilik perniagaan berkenaan.
Menurut Zulkipli, kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun, denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Ujarnya, polis turut menyeru masyarakat agar tidak terlibat dalam pemilikan, pembelian atau penjualan senjata api tiruan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti ini diminta melaporkannya kepada balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
“Kerjasama anda amat diperlukan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti,” tambah beliau.
|