Gesaan MBKS susulan banyak kebakaran kedai berpunca daripada kerosakan sistem pendawaian elektrik
Wee (kanan) bersama salah seorang kakitangan SEB melakukan pemeriksaan sistem pendawaian elektrik di sebuah premis di Jalan Padungan. - Gambar Roystein Emmor
"Dengan kebanyakan premis niaga di Padungan berusia hampir 100 tahun bermakna kebanyakan kedai di sini sudah terlalu lama, menjadikannya bangunan warisan.”
Dato Wee Hong Seng Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS)
KUCHING: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng menyeru pemilik kedai di kawasan Padungan menaik taraf sistem pendawaian elektrik di premis mereka sebagai langkah mencegah kebakaran.
Gesaan itu dibuat susulan banyak kejadian kebakaran kedai yang antara lain berpunca daripada kerosakan pada sistem pendawaian elektrik di premis terlibat.
Sehubungan itu, Wee menggalakkan para pemilik premis segera menggantikkan pendawaian elektrik yang lama dan rosak dengan yang baharu dengan bantuan para profesional atau kontraktor bertauliah daripada Syarikat SESCO Berhad (SESCO).
"Dengan kebanyakan premis niaga di Padungan berusia hampir 100 tahun bermakna kebanyakan kedai di sini sudah terlalu lama, menjadikannya bangunan warisan.
“Sudah tentu apabila sesuatu itu menjadi warisan maka kita akan menjaga dan melindunginya.
"Usaha melindungi warisan bergantung kepada inisiatif individu dan sudah tentu semua bergantung bagaimana anda melakukannya...namun kita mengesyorkan untuk mendapatkan khidmat profesional," ujar Wee.
"Jangan sesekali mengambil inisiatif sendiri atau kontraktor tidak bertauliah hanya kerana untuk mengurangkan kos kerana ia boleh memberi kesan buruk jika berlaku litar pintas," katanya pada sidang media sebelum mengadakan pemeriksaan pendawaian elektrik di sebuah kedai di Jalan Padungan di sini hari ini.
Beliau percaya bahawa langkah pencegahan adalah lebih berkesan dan lebih murah daripada menangani kecemasan selepas berlaku kebakaran bangunan atau premis niaga.
Ujarnya, inisiatif yang dijalankan semalam adalah kerjasama antara MBKS dan SESCO yang antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran menangani isu pendawaian elektrik yang rosak secara serius.
"Saya berharap kempen seumpamanya diteruskan. Ia bukan sahaja mahu mengetengahkan kawasan ini malah merangkumi kawasan dan premis niaga lain dalam kawasan jagaan MBKS," katanya sambil menggalakkan pemilik kedai memilih pemeriksaan rutin bagi premis mereka.
"Pemeriksaan yang kami jalankan ini tidak dikenakan sebarang bayaran kerana hanya melibatkan pemeriksaan sistem pendawaian elektrik di luar kedai...namun untuk bahagian dalam premis mesti melibatkan mereka yang profesional dalam sistem pendawaian, tambah Wee lagi.
Sementara itu, Naib Presiden (Pengeluaran) Sarawak Energy Berhad (SEB) Choo Min Chong yang turut hadir berkata pendawaian elektrik di premis biasanya perlu diperiksa setiap 10 tahun sekali.
"SESCO ada program untuk memeriksa semua pendawaian utama setiap tiga hingga lima tahun dan lazimnya kami memeriksa penebat pendawaian utama, kekuatan penebat yakni sama ada masih kuat atau sebaliknya untuk menampung aliran elektrik.
"Kami biasanya menggunakan pengimbas terma untuk memeriksa sambungan untuk mana-mana titik panas. Jika terdapat titik panas bermakna ada sambungan yang telah longgar dan perlu segera dibaiki.
"Berdasarkan penemuan tersebut, kami biasanya mengatur masa sesuai untuk membaikinya dengan menutup dan mengetat sambungan litar.
“Ini sebahagian daripada proses penyelenggaraan biasa dalam kerja-kerja pendawaian utama kami," katanya.
Hadir sama ialah Ahli Majlis MBKS, wakil daripada pihak polis dan bomba Padungan serta kakitangan SEB.
|