MIRI: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas keluar memotong kayu di kawasan antara Jambatan Selugo dan Long Tungan, Baram sejak empat hari lalu.
Mangsa, David Asong Salo, 39, dilaporkan masih belum keluar dari hutan oleh rakannya setelah masuk ke kawasan hutan berkenaan bagi tujuan memotong kayu sekitar jam 11 malam, 17 Januari lalu.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.50 petang ini.
"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi akan respons kepada kes ini untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
"Bagaimanapun, pasukan SAR hanya bergerak ke lokasi keesokannya (Rabu) berikutan lokasi sejauh 280 kilometer dari balai dan mengambil masa lapan hingga sembilan jam perjalanan menggunakan jalan balak," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan petang ini.
Justeru katanya, tindakan yang dilakukan kini adalah mengambil maklumat mengenai mangsa daripada ahli keluarganya.
|