CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3823|Reply: 0

[Sarawak] 830 ekar kawasan projek pembangunan semula Bukit Assek

[Copy link]
Post time 22-1-2025 02:21 PM | Show all posts |Read mode


Chieng (berdiri) ketika berucap pada majlis tersebut malam Isnin.

SIBU: Kawasan projek pembangunan semula Bukit Assek kini diperluaskan daripada 497 ekar kepada 830 ekar, meliputi kawasan tebing sungai dan tiga kawasan berpaya, selepas mendapat kelulusan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng, perluasan ini bertujuan memastikan pembangunan lebih komprehensif dengan perancangan infrastruktur dan pelan induk yang sistematik.

Beliau berkata lokasi fasa pertama untuk pelaksanaan projek tersebut telah dikenal pasti.

“Pembangunan semula Bukit Assek telah diumumkan tahun lalu, tetapi butiran penuh akan didedahkan oleh pihak berwajib pada suku pertama 2025.

“Projek ini kini memasuki fasa ketiga, yang melibatkan reka bentuk dan pembangunan bersepadu untuk memenuhi keperluan jangka panjang,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Media, malam Isnin.

Chieng menjelaskan, projek pembangunan semula Bukit Assek merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk membangunkan Sibu secara menyeluruh, selaras dengan inisiatif pembangunan mampan.

Selain menaik taraf infrastruktur, projek ini juga dijangka memperkasa ekonomi tempatan dengan membuka peluang pekerjaan serta menarik lebih banyak pelaburan ke kawasan berkenaan.

Beliau menegaskan bahawa projek ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan terbaik untuk rakyat, selain mewujudkan persekitaran hidup yang lebih kondusif di Sibu.

Justeru, Chieng berharap pembangunan ini dapat dimulakan secepat mungkin sambil memastikan segala maklumat berkaitan projek didedahkan secara telus kepada penduduk Sibu.

“Pameran khas akan diadakan oleh Perbadanan Pembangunan Tanah Sarawak (LCDA) selama tiga bulan bagi memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai projek ini,” ujar beliau.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan, sebuah jalan baharu akan dibina untuk menghubungkan Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce dengan Jalan Oya melalui Jalan Bukit Lima Forest Reserve.

Katanya, projek ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Sibu selain meningkatkan aksesibiliti penduduk ke kawasan ini.

Selain itu, kerajaan negeri turut merancang membangunkan perumahan mampu milik di kawasan tersebut.

Menurut Chieng, perbincangan dengan LCDA akan diadakan minggu ini bagi menentukan jenis dan lokasi rumah yang bakal dibangunkan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa cadangan menubuhkan pusat rawatan kanser dan pusat satelit jantung di Sibu telah mendapat sokongan penuh.

“Penubuhan pusat ini akan memudahkan penduduk setempat, terutamanya mereka yang sebelum ini perlu ke Kuching untuk mendapatkan rawatan.

“Lokasi strategik Sibu menjadikannya pilihan ideal untuk pusat ini, bukan sahaja untuk penduduk Sarawak tetapi juga bagi masyarakat dari Sabah, Indonesia, dan Brunei,” katanya.

Chieng menambah bahawa penubuhan pusat satelit kanser dan jantung di Sibu akan membantu mengurangkan kos serta masa perjalanan ke Kuching.

“Dengan adanya pusat ini, pakar boleh datang ke Sibu untuk menjalankan operasi, memberikan manfaat besar kepada penduduk di zon tengah Sarawak,” katanya.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

31-1-2025 04:40 AM GMT+8 , Processed in 0.056444 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list