TANGKAP: Suspek terbabit berjaya ditangkap untuk siasatan lanjut atas tuduhan ugut seorang wanita.
TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mengugut mahu menetak seorang wanita kerana keluar bersama isterinya tanpa kebenarannya.
Suspek berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di kawasan Sabindo, kira-kira jam 4.20 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa wanita berusia 31 tahun.
Katanya, mangsa dikatakan telah menerima panggilan telefon berbaur ancaman daripada suspek pada Jumaat lalu.
“Mangsa mendakwa suspek tidak puas hati tanpa sebab dan menyalahkannya kerana membawa bekas isterinya keluar tanpa kebenaran selain menyatakan niat ingin menetak mangsa dan bekas isterinya.
“Mangsa yang berasa terancam segera membuat laporan polis di Balai Polis Tawau pada jam 10.31 malam, pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, bertindak atas maklumat dan risikan, suspek berjaya ditahan di kawasan gerai makanan Sabindo dan polis turut merampas telefon bimbit miliknya yang digunakan ketika kejadian itu.
“Hasil semakan, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.
|