MOU: Mohd. Arifin (empat kanan) menyaksikan majlis menandatangani MoU di antara MUIS yang diwakili oleh Yahya (duduk, dua kiri) dan Ramlan (duduk, kiri) bersama wakil Zecon Berhad Zainal Abidin (duduk, dua kanan) dan Abdul Kadir (duduk, kanan).
KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan syarikat Zecon Berhad menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi projek perumahan pelajar dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM1.3 bilion.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor diwakili oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd. Arifin Mohd Arif bagi menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan di sini hari ini.
MoU itu melibatkan usahasama bagi membangunkan projek berkenaan di tanah milik MUIS seluas 15 ekar bersebelahan Fakulti Perubatan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Sebanyak 1,610 unit apartmen akan dibina dan mampu menampung sehingga 6,732 pelajar tempatan dan antarabangsa serta kakitangan.
Pemilikan tanah akan terus kekal di bawah MUIS dengan kaedah konsep pembangunan 'Build, Lease, Maintain & Transfer' (BLMT).
Projek ini bakal menjadi perintis yang menawarkan konsep pembangunan serba moden dan komprehensif, dijangka bermula pada akhir tahun ini.
Lebih 500 hingga 600 peluang pekerjaan akan diwujudkan, meliputi sektor profesional, pentadbiran dan buruh.
pada majlis menandatangani MoU itu, MUIS diwakili oleh Yang dipertua MUIS Datuk Seri Panglima Yahya Hussin dan Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MUIS Ramlan Awang Ali.
Pihak Zecon Berhad diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Zecon Berhad Datuk Zainal Abidin Ahmad dan Pengerusi Zecon Engineering Sabah Sdn.Bhd Datuk Abdul Kadir Rosline.
|