WARIS: Pihak JKM mencari waris kepada warga emas yang dikenali sebagai Rogil.
KOTA KINABALU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan waris kepada seorang lelaki warga emas yang tinggal di kawasan Kolombong, Inanam di sini.
Menurut kenyataan Pejabat Kebajikan Bahagian Kota Kinabalu, warga emas berkenaan dikenali sebagai Rogil Buah berumur 67 tahun dan mesra dengan panggilan 'Roger'.
Rogil dipercayai berasal dari daerah Semporna dan kini masih menjalani rawatan di Hospital Kuala Penyu.
Beliau yang sudah lama menetap di Kota Kinabalu berstatus bujang namun tidak lagi dapat mengingati nama atau jumlah adik-beradiknya.
Dalam pada itu, hasil semakan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati hanya maklumat mengenai Rogil sahaja ditemukan dalam rekod JPN.
Justeru, JKM meminta sesiapa mengenali beliau untuk menghubungi Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Rita Robert Rawantas, di Pejabat Kebajikan Bahagian Kota Kinabalu menerusi talian 088-269821 atau e-mel kepada [email protected].
|