Tertuduh (kiri) keluar dari kamar mahkamah selesai dijatuhkan hukuman.
KUCHING: Seorang lelaki warga emas dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah memiliki 415 biji telur penyu tanpa kebenaran kontroler hidupan liar pada Julai 2023.
Hakim Afidah Abdul Rahman memerintahkan Abang Hassimsah Abang Zainal, 58, yang tidak diwakili peguam, untuk dikenakan jaminan RM20,000 (tidak didepositkan) dengan dua penjamin tempatan, menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah.
Afidah ketika menjatuhkan hukum dalam prosiding semalam merujuk kepada kes terdahulu yang menekankan kepentingan menyeimbangkan kepentingan awam dan hak tertuduh.
Beliau juga mengambil kira tertuduh yang terdahulunya pernah disabitkan di Mahkamah Sesyen di sini pada 25 April 2024, selepas mengaku bersalah memiliki 1,322 biji telur penyu tanpa kebenaran kontroler hidupan liar dan kemudiannya dijatuhi hukuman denda RM39,660 atau enam bulan penjara.
Menurut Afidah, walaupun tertuduh pernah disabitkan atas kesalahan sama, mahkamah memutuskan bahawa sabitan itu tidak boleh dianggap sebagai rekod jenayah lampau.
Ia katanya, susulan kedua-dua kesalahan yang dilakukan bagi kes ini dan kes terdahulu berlaku secara serentak di premis sama pada tahun 2023.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit di sebuah premis di Taman Lee Ling, Jalan Matang di sini sekitar jam 9.45 pagi pada 15 Julai 2023.
Pertuduhan alternatif itu dibuat mengikut Seksyen 37(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1)(c), dibaca bersama Seksyen 37(2)(a) dan Seksyen 51 Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998.
Fakta kes mendedahkan sepasukan pegawai Sarawak Forestry Corporation (SFC) menjalankan pemeriksaan di sekitar premis tersebut pada hari kejadian dan terserempak dengan tertuduh yang yang mempunyai beberapa beg plastik hijau mengandungi 415 biji telur penyu.
Siasatan lanjut mendapati lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumentasi yang menunjukkan bahawa dia telah mendapat kebenaran secara bertulis daripada kontroler hidupan liar untuk pemilikan dan penjualan telur penyu tersebut.
Berikutan itu, pihak SFC menahan tertuduh untuk tindakan selanjutnya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ronald Felix Hardin serta Pegawai Pendakwa Simon Engka Crown dan Leonard Baring.
|