![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250118/sbw-ub170125-mu-ohpulang-p1.jpg)
Elin berjaya pulang sendiri ke rumah panjangnya selepas berteduh di bawah pokok selama dua malam tanpa bekalan makanan.
MUKAH: Seorang lelaki berusia 46 tahun dilaporkan hilang sejak 15 Januari lalu selepas keluar memancing akhirnya berjaya menemui jalan pulang sendiri ke Rumah Sebau, Simpang Bukut, Jalan Mukah-Selangau petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Abdullah ketika mengesahkan perkara itu berkata, mangsa, Elin Sebau tersesat di ladang kelapa sawit terbiar akibat hujan lebat sehingga menyukarkannya menemui jalan keluar.
Menurutnya, laporan kehilangan dibuat oleh anak mangsa, Melissa pada Khamis lalu setelah usaha mencari oleh penduduk rumah panjang menemui kegagalan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada Jumaat dengan kerjasama polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk tempatan.
"Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) didirikan di bahu jalan Ladang 3, Simpang Bukut dan operasi pencarian melibatkan empat pasukan dengan radius pencarian sejauh empat kilometer persegi.
"Namun, sebelum SAR hari kedua dilancarkan mangsa dilaporkan berjaya pulang ke rumah panjangnya sendiri jam 5.30 petang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhamad Rizal berkata, mangsa dilaporkan tersesat selepas mencari ikan di kawasan ladang sawit.
Menurutnya, mangsa berteduh di bawah pokok selama dua malam tanpa bekalan makanan dan hanya bergantung kepada air dari kawasan ladang.
"Menjangkakan tiada bantuan, mangsa cuba bergerak mencari jalan keluar sehingga berjaya menemui laluan berbukit yang membawanya ke sebuah rumah panjang berhampiran pada hari ketiga," jelasnya.
Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan kini menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Mukah.
|