![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250117/mrsugahpc4.jpg)
Gambar fail
MIRI: Pembinaan Jambatan Marudi boleh menjadi contoh kepada syarikat kontraktor di Sarawak untuk menyiapkan projek-projek kerajaan negeri mengikut tempoh yang ditetapkan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri sedang melaksanakan banyak projek dan tidak mahu ia menjadi projek sakit kerana sikap kontraktor yang tidak bertanggungjawab.
"Harap ini akan menjadi model ikutan untuk projek kita di seluruh Sarawak yang begitu banyak.
"Biar ia menjadi mesej kepada kontraktor.
"JKR akan memastikan projek siap mengikut masa," jelas Uggah pada Majlis Perasmian Jambatan Marudi pagi tadi yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menyifatkan pembinaan jambatan itu adalah ganjaran besar bukan sahaja untuk penduduk Marudi bahkan dari seluruh kawasan Baram.
Jambatan itu juga mampu menjadi anjakan paradigma kepada penduduk di kawasan Baram dari aspek perhubungan dan pembangunan ekonomi, katanya lanjut.
"Hari ini kita bertuah kerana kita menyaksikan sejarah sebuah projek 'game changer.'
"Sebuah projek yang lama diidamkan dan akhirnya menjadi realiti," jelas beliau.
Menurut Uggah, kepimpinan Abang Johari memastikan Sarawak mendapat banyak infrastruktur yang memanfaatkan rakyat. Beliau turut menjadi contoh kepada wakil rakyat untuk memastikan infrastruktur yang diidamkan rakyat disediakan.
Pada tahun ini, kementerian beliau telah diamanahkan dengan belanjawan pembangunan terbesar dalam sejarah Sarawak iaitu sebanyak RM1.31 bilion, 64 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2024.
Uggah memberitahu, bagi Daerah Marudi sahaja, kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak 20 projek infrastruktur bernilai RM616 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Pecahan dana pembangunan projek adalah Projek Rakyat melibatkan sembilan belas (19) projek bernilai RM548,006,754 dan RMK12 iaitu satu projek bernilai RM68 juta.
Daripada jumlah itu, JKR telah menyiapkan enam projek bernilai RM187.7 juta, manakala satu lagi sedang dalam pembinaan dan baki 13 projek lagi bernilai RM422.3 juta akan ditender pada tahun ini.
Justeru, Uggah meminta rakyat untuk terus bekerjasama dan menyokong kepimpinan Abang Johari dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) agar semua pelan pembangunan yang dirancangkan dalam dilaksanakan dengan jaya dan mencapai matlamat yang diinginkan.
|