CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 11556|Reply: 0

Luca si musang manja

[Copy link]
Post time 16-1-2025 08:22 AM | Show all posts |Read mode

LUCA dipelihara Aliza sejak daripada kecil.

Musang pandan sememangnya mudah untuk ditemui di negara ini kerana ia antara haiwan liar yang hidup di kawasan hutan di negara tropika.

Bagi Aliza Sharwin, 40, dia memelihara musang pandan betina yang dinamakan sebagai Luca sejak 2018 selepas menyelamatkan haiwan itu daripada dimakan ibunya sendiri.

Jelasnya, ketika itu Luca masih bayi dan mempunyai seekor lagi saudara kandung yang turut diselamatkan daripada dimakan ibunya sendiri. Namun, saudara kandungnya mati lebih awal kerana masalah kesihatan ketika masih kecil.

"Ketika itu, adik saya yang melihat ibu haiwan itu sudah menggigit kedua-dua anaknya dan Luca jatuh daripada pokok. Habis badan kedua-dua anak musang berkenaan di gigit sehingga menampakkan bahagian isi.

ALIZA amat peka kepada tahap kesihatan Luca.

"Jadi, adik saya menyelamatkan kedua-duanya dan memberikan kepada saya untuk menjaganya. Saya membawa mereka berjumpa dengan doktor haiwan. Namun, hanya Luca sahaja yang dapat bertahan hidup sehingga hari ini, manakala seekor lagi mati kerana jangkitan kuman," katanya.

Aliza berkata, kini sudah enam tahun dia memelihara Luca dan mempunyai lesen untuk menjadikan musang pandan berkenaan sebagai haiwan kesayangan.

Jelasnya, menjadikan musang pandan sebagai haiwan kesayangan tidak begitu rumit. Asalkan, pemilik tahu dari segi menjaga kesihatan dan makanan haiwan berkenaan.

"Saya banyak dibimbing doktor veterina yang merawat Luca ketika masih bayi termasuk disarankan untuk memohon lesen daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya membolehkan saya menjadikannya sebagai haiwan peliharaan.

"Proses untuk memohon lesen juga tidaklah begitu sukar dan bayarannya hanya RM10 sahaja setahun. Lesen ini amat penting supaya pihak Perhilitan mengetahui kita mempunyai musang pandan sebagai haiwan peliharaan secara sah," katanya.

Jelasnya, dia tidak menyimpan Luca di dalam sangkar tetapi mempunyai satu bilik khas yang mempunyai kemudahan 'bilik air' bagi memberi keselesaan haiwan itu bergerak.

"Luca ini sejak kecil adalah seekor musang betina yang amat manja. Tapi bagi mereka yang pertama kali melihat saya memelihara musang mungkin merasakan haiwan ini adalah jenis menyerang.

"Sebenarnya musang pandan bukan sejenis haiwan yang suka menyerang kerana apabila ia merasa tidak selamat, biasanya akan melarikan diri. Apatah lagi, jika melihat orang yang tidak dikenalinya," katanya.

BUAH-buahan seperti mangga menjadi diet Luca.

Aliza menambah, dia juga sudah memberikan vaksin kepada Luca memandangkan sejak daripada kecil haiwan itu tidak mendapat nutrisi daripada ibunya dan mudah diserang penyakit berjangkit daripada manusia seperti batuk dan selsema. Jadi, haiwan yang kurang antibodi mudah mendapat penyakit jika tidak divaksin

"Saya amat peka kepada kesihatan Luca dan memastikan antibodinya kuat untuk melawan pelbagai penyakit dengan memberi makanan yang bersesuaian dengan dietnya, memerhatikan tingkah laku dan membawa berjumpa doktor veterinar sebaik menyedari haiwan itu pasif atau ada jangkitan pada bahagian kulit.

"Setakat ini, Luca adalah haiwan kesayangan saya yang amat mudah untuk dijaga dan jarang sakit kerana saya amat peka mengenai keperluannya dan menjaga seperti ahli keluarga sendiri," katanya.

Katanya, dari segi diet dia memberikan Luca pelbagai jenis buah-buahan seperti ceri, pisang, mangga betik atau ciku. Dua hari sekali, isi ayam turut diberikan kepada haiwan kesayangannya itu.

LUCA mempunyai bilik peribadi yang disediakan Aliza.

"Sehari saya akan memberikan Luka dua kali sehari makan dan biasanya saya akan mengisar buah-buahan itu secara kasar dengan menjadikannya seperti smootie.

"Buah yang menjadi kegemaran Luca adalah ceri dan ciku. Namun, buah ini agak sukar untuk didapati kerana ia adalah buah bermusim. Jadi, saya perlu gantikan dengan buah-buahan lain seperti betik dan mangga. Selain itu, saya juga campurkan makanan kesihatan tambahan yang baik untuk tulangnya," katanya.

Katanya, bilik peribadi Luca sememangnya sentiasa perlu dibersihkan setiap hari bagi memastikan haiwan kesayangannya itu hidup dalam keadaan yang bersih dan tidak diserang penyakit.

"Najis Luca sememangnya saya akan bersihkan setiap hari kerana persekitaran yang bersih boleh menjamin kepada tahap kesihatan haiwan kesayangan kita.

"Jadi, saya akan memastikan bilik khas berkenaan sentiasa dalam keadaan bersih dan saya sebagai pemilik kediaman juga dapat hidup dengan selesa bersama Luca," katanya.

Katanya, Luca adalah musang pandan yang cukup manja dengannya dan suka bergurau walaupun mungkin daripada pandangan orang lain ia sejenis haiwan yang garang.

"Apabila saya memegang Luca, ia akan bermain di atas tengkuk dan ketika masih kecil, haiwan itu tidur sebilik dengan saya. Musang pandan ini seperti kucing, apabila kita selalu memberikan perhatian, ia tahu bahawa kita adalah pemilik yang sayangkannya.

"Apabila sudah berusia enam tahun ini, saya boleh lihat Luca sudah mula aktif pada sebelah malam berbanding siang. Jadi, pada sebelah malam ia akan banyak bergerak sementara siang pula, ia banyak tidur," katanya.

Katanya, bagi mereka yang ingin menjadikan musang pandan sebagai haiwan kesayangan adalah perlu untuk mengetahui pelbagai perkara membabitkan kesihatan dan keperluan makanan mereka.

"Sebaik-baiknya buat pembacaan dan berjumpa dengan doktor veterinar yang mempunyai kepakaran mengenai musang supaya kita boleh mendapatkan ilmu penjagaan yang baik untuk memiliki haiwan ini," katanya.










Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

31-1-2025 03:52 AM GMT+8 , Processed in 0.037005 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list