DAMSYIK: Tiga wanita maut manakala lima kanak-kanak mengalami patah tulang dan lebam serius dalam insiden rempuhan di Masjid Umayyad, ibu negara Syria, pada Jumaat ketika cuba mendapatkan makanan percuma dalam satu program kebajikan.
Memetik Pertahanan Awam Syria, dilaporkan kejadian berlaku semasa satu jamuan anjuran tukang masak terkenal, Abu Omari al-Dimashqi, yang menjemput orang ramai untuk menikmati hidangan percuma di pekarangan masjid bersejarah itu di Bandar Lama Damsyik.
Sumber tempatan dan saksi melaporkan orang ramai membanjiri pekarangan masjid dan kawasan sekitar tanpa kawalan orang awam yang mencukupi, menyebabkan situasi menjadi huru-hara.
Anggota keselamatan tiba di lokasi kejadian dan menutup jalan untuk mengawal kemasukan orang ramai.
Masjid Umayyad, satu daripada mercu tanda ikonik Damsyik, biasanya menganjurkan acara keagamaan dan kebudayaan. Perhimpunan awam berskala besar jarang diadakan di situ dan biasanya memerlukan penyelarasan awal dengan pihak berkuasa tempatan.
Struktur keselamatan dan perkhidmatan awam di bandar itu masih dalam proses penyesuaian selepas pergolakan politik yang berlaku baru-baru ini, susulan kejatuhan mengejut Kerajaan Syria terdahulu pada Disember lalu.
|