Aspek kesihatan dan keselamatan selalu diabaikan di lombong arang batu di Pakistan- Foto AGENSI
ISLAMABAD: Sebuah lombong arang batu runtuh akibat letupan gas metana di wilayah Balochistan, barat daya Pakistan, mengorbankan seorang pekerja lombong dan mengakibatkan 11 lagi terperangkap ribuan kaki di bawah tanah.
Xinhua memetik kenyataan pegawai pada Jumaat melaporkan
Ketua Pemeriksa Lombong, Balochistan Abdul Ghani Baloch memberitahu letupan itu berlaku ketika lebih 12 pekerja sedang menggali arang batu di kawasan Sanjidi, Quetta, ibu kota Balochistan.
Beliau berkata, mayat seorang pekerja lombong berjaya dikeluarkan, manakala usaha menyelamat masih diteruskan bagi menyelamatkan 11 pelombong lain yang terperangkap selama beberapa jam di dalam lombong itu.
"Beberapa pasukan terdiri daripada jurutera perlombongan dan anggota penyelamat telah dikerahkan ke lokasi kejadian, dan kerja-kerja mengalihkan runtuhan sedang dijalankan untuk membuka laluan ke dalam lombong," katanya.
Menurut pasukan penyelamat, lombong itu runtuh sepenuhnya selepas letupan gas berkenaan, menutup semua laluan masuk dan menyukarkan usaha menyelamat.
Kejadian kemalangan di lombong adalah perkara biasa di Pakistan kerana standard kesihatan dan keselamatan jarang dilaksanakan, terutamanya akibat pemeriksaan lombong yang dilakukan sekali-sekala dan tidak konsisten, menurut laporan terkini Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan.
TAG: Pakistan, lombong arang batu, runtuh, letupan, pekerja lombong terperangkap, seorang terbunuh
|