Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan. Foto AGENSI
ISTANBUL: Diplomat tertinggi Turkiye, menolak sebarang peranan untuk tentera Perancis di Syria sebaliknya menegaskan Washington adalah satu-satunya perantara mereka di negara itu.
Ketika ini, pegawai Amerika Syarikat (AS) berusaha untuk menghalang tindakan tentera Turkiye terhadap pejuang Kurdi.
Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan menuduh Paris mengabaikan kebimbangan keselamatan Turkiye sendiri dan menggesa Perancis membawa pulang warganya yang menjadi pejuang jihad yang dipenjarakan di Syria.
Paris dan Washington berusaha untuk menghalang sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mereka daripada meningkatkan serangan terhadap Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang dipimpin Kurdi, yang membantu mereka mengalahkan kumpulan Daesh pada 2019.
SDF dilihat kebanyakan negara Barat sebagai penting untuk mengekang ancaman pejuang jihad, namun Turkiye melihatnya sebagai ancaman keselamatan utama kerana hubungan SDF dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang melancarkan pemberontakan selama beberapa dekad di Turkiye.
Ditanya mengenai kemungkinan penempatan tentera AS dan Perancis di utara Syria untuk meredakan ketegangan dengan Kurdi, Hakan menolak sebarang peranan untuk Perancis.
"AS adalah satu-satunya perantara kami. Secara jujur, kami tidak mengambil kira negara yang cuba membawa kepentingan mereka sendiri di Syria dengan bersembunyi di belakang AS," katanya kepada wartawan di Istanbul.
"Kami mengatakannya berkali-kali, tidak ada peluang kami boleh hidup dengan ancaman sedemikian. Sama ada orang lain akan mengambil langkah itu atau kami akan melakukannya," katanya.
Turkiye, katanya, mempunyai "kekuatan, kapasiti dan di atas keazaman untuk menghapuskan semua ancaman terhadap kelangsungan hidupnya pada sumbernya" mengulangi kenyataan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada awal minggu ini.
|