PM Anwar sertai 1,500 jemaah tunai solat Jumaat di Masjid Al-Hana Kuah
Oleh Hamzah Osman - Disember 27, 2024 @ 2:53pm [email protected]
Anwar beramah mesra dengan jemaah selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Al-Hana, Kuah, Langkawi. - Foto NSTP/Hamzah Osman
LANGKAWI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hana Kuah, di sini.
Ketibaan Anwar pada kira-kira 1.20 tengah hari disambut Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah; Pegawai Agama Daerah Langkawi, Syeikh Lokman Ishak dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi Ahmad Fuad Abd Ghani.
Anwar bersama kira-kira 1,500 jemaah, seterusnya mendengar khutbah bertajuk 'Pendidikan Islam Nadi Ummah Sejahtera' disampaikan Mohd Dzaher Saad.
Kandungan khutbah itu antara lain menekankan menuntut ilmu dan mengajarkannya sebagai satu kewajipan, malah ia memerlukan usaha yang gigih, semangat kental, kesabaran tinggi, tempoh masa panjang dan dana.
Ia antara lain turut mengingatkan, usaha itu adalah satu jihad yang sangat besar, bahkan dianggap sebagai ibadah dan akan diganjari dengan pahala yang banyak serta dipermudahkan jalan menuju ke syurga.
Solat Jumaat diimamkan Mohd Sya'bani Awang. Selepas solat, jemaah tidak melepaskan peluang bersalaman dan berswafoto dengan Perdana Menteri.
Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa menjamu selera di Restoran Kak Yan di Kampung Ulu Melaka di sini, sambil beramah mesra dengan orang ramai.
Kunjungan ke masjid terpilih di seluruh negara menjadi antara rutin Anwar pada setiap Jumaat sejak menerajui kerajaan pada November 2022.
Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri ketika ini berada di Langkawi, bersama keluarga selain dijadual bertemu bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1341711/pm-anwar-sertai-1500-jemaah-tunai-solat-jumaat-di-masjid-al-hana
|