Kulim: Dua beranak maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan kereta Volkswagen Beetle 1.2 di Jalan Kenari 3, Taman Kenari, di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa, A Vinot, 36, yang bekerja sebagai pemandu van kilang dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kulim akibat kecederaan di bahagian kepala.
Anak lelakinya, V Naviness, 8, pula meninggal dunia di tempat kejadian juga cedera parah di kepala dan muka.
Difahamkan, kedua-dua beranak itu menetap di Taman Kenari begitu juga pemandu kereta tersebut.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Hj Zulkifli Azizan berkata, Balai Polis Trafik menerima panggilan berhubung kemalangan itu daripada orang awam pada jam 5.20 petang memaklumkan berlaku kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha 135 LC yang dinaiki dua beranak itu dengan kereta terbabit.
Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku pada jam 5.07 petang di Jalan Kenari 3, Taman Kenari.
"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu seorang wanita berusia 32 tahun itu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan motosikal yang dinaiki dua beranak itu yang sedang bergerak lurus.
"Akibat dari kemalangan itu, pembonceng motosikal itu mengalami kecederaan serius di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
"Manakala penunggang motosikal itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kulim," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap wanita terbabit mendapati dia bebas dari pengaruh dadah dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Wanita itu bekerja sebagai peniaga kedai makan dan kereta itu adalah milik suaminya.
"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk tindakan lanjut Dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.