Pempengaruh Man Kulim Peninnggg meninggal dunia
SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
24 Disember 2024 09:45pm
Masa membaca: 2 minit
Man Kulim Peninnggg dilaporkan meninggal dunia pada Selasa.
KULIM - Pempengaruh media sosial yang popular di Utara, dikenali sebagai nama Man Kulim Peninnggg dilaporkan meninggal dunia di rumahnya di sini pada petang Selasa.
Berita pemergian personaliti dikenali ramai itu dimuat naik rakan, Mohd Zaki Salleh menerusi media sosial Facebook pada Selasa malam.
Menurut hantaran tersebut, Mohd Zaki memaklumkan bahawa Man Kulim adalah seorang yang ringan tulang dan suka membantu dalam usaha mengembangkan bisnes rakan.
"Innalillahhiwainnailaihiraajiuunn.... Al-Fatihah... salam takziah. Saya saksi bahawa Man Kulim seorang yang sangat baik, pernah bantu saya dalam bisnes kedai makan.
"Tak berkira dan sangat ringan tulang, semoga arwah Man Kulim Peninnggg ditempatkan bersama orang yang beriman," tulisnya dalam hantaran berkenaan.
Dimaklumkan, ibu kepada Allahyarham Man Kulim Peninnggg, Siti Asa Lateh baru sahaja dilaporkan meninggal dunia pada 11 Disember lalu.
"Tak sampai dua minggu arwah mak beliau meninggal, kini, petang tadi dalam anggaran jam 6 petang giliran beliau pula menyusul.
"Allah sebaik-baik percaturan yang menyusun semua perjalanan kehidupan semua insan Al-Fatihah," tulis beliau.
Difahamkan, urusan pengebumian dijangka disempurnakan di Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang.
Bagaimanapun, kesahihan mengenai perkara terbabit akan disahkan kemudian sebaik sahaja maklumat mengenainya diperoleh.
|