CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 30634|Reply: 0

[Pulau Pinang] Orang Islam ucap Hari Krismas kembali jadi isu

[Copy link]
Post time 23-12-2024 08:21 PM | Show all posts |Read mode
Edited by sfhzuraz at 23-12-2024 08:24 PM

Orang Islam ucap Hari Krismas kembali jadi isu

SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
23 Disember 2024 04:54pm





Mohd Sukki




GEORGE TOWN - Hukum orang Islam memberi ucapan kepada sambutan perayaan orang bukan Islam seperti perayaan Krismas, Deepavali, Tahun Baru Cina, Ponggal, Wesak dan sebagainya adalah harus.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 21 dan 22 Ogos 2019 telah membuat keputusan berdasarkan pembentangan hasil kajian yang dijalankan.

Menurutnya, mesyuarat itu telah memutuskan hukum itu dilihat lebih sesuai dengan konteks masyarakat Malaysia berbilang kaum khususnya di Pulau Pinang.


"Dalam hal ini, umat Islam dituntut agar menampilkan agama Islam yang mesra kepada semua orang dengan tujuan untuk menarik hati orang bukan Islam kepada Islam.


"Bagaimanapun, hukum harus ini tertakluk kepada ucapan yang diberikan itu tidak mengandungi syiar atau ungkapan keagamaan yang bertentangan dengan prinsip ajaran Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menambah, hukum menziarahi rumah terbuka orang bukan Islam sempena perayaan agama mereka juga harus dengan mengambil kira beberapa kriteria antaranya majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara yang bertentangan dengan akidah Islam seperti melibatkan simbol-simbol agama, berhala dan sebagainya.


"Kriteria lain adalah majlis tersebut tidak bertentangan dengan syarak seperti memakai pakaian berwarna tertentu dengan kepercayaan agama lain.

"Selain itu, majlis itu tidak melibatkan perbuatan yang bercanggah dengan akhlak orang Islam seperti pergaulan bebas tanpa batas dan adab sopan, tiada ucapan berbentuk dakyah agama bukan Islam, ucapan menghina Islam serta tiada minuman dan makanan haram," jelasnya.




Mohd Sukki berkata, bagi penglibatan dalam persiapan perayaan orang bukan Islam yang berkaitan dengan agama mereka adalah diharamkan di sisi syarak dan pandangan para ulama mazhab.

"Seseorang Muslim perlu mengenal pasti sejauh mana perayaan kebudayaan itu mempunyai unsur-unsur kepercayaan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

"Jika unsur kepercayaan tersebut mendominasi maka seharusnya orang Islam menjauhi tindakan membantu dan menjayakan persiapan perayaan tersebut. Tetapi jika ia berbentuk kebudayaan, maka hukum penyertaan orang Islam itu adalah harus," katanya.


Sementara itu, beliau berkata, hukum menjual barangan khas yang digunakan orang bukan Islam dalam perayaan agama mereka adalah tertakluk kepada beberapa perkara.

"Orang Islam boleh menjual pakaian dan makanan, selagi tidak jelas perkara itu memberi kemaslahatan dalam upacara atau sambutan perayaan keagamaan mereka.

"Jika sudah jelas barang-barang tersebut digunakan untuk perayaan keagamaan orang bukan Islam maka orang Islam perlu mengelakkan diri daripada terlibat.

"Orang Islam juga diharamkan menjual barangan yang khusus digunakan dalam upacara atau sambutan perayaan orang bukan Islam seperti pakaian atau alat-alat keagamaan mereka," jelasnya.

Menurut beliau, adalah haram untuk orang Islam mengenakan pakaian untuk perayaan bukan Islam jika mempunyai kaitan yang rapat dengan kepercayaan keagamaan mereka dan juga mendedahkan aurat seperti kostum atau topi Santa Claus, pakaian paderi, pakaian sami, lambang salib dan sebagainya.

Pakaian kaum lain yang tiada kaitan dengan ajaran agama mereka secara khusus seperti sari, kurta, samfu dan cheongsam secara asasnya adalah harus selagi mana tidak terdapat unsur membesarkan agama orang bukan Islam dan memelihara aurat.

"Namun sebaiknya orang Islam mengelakkan diri daripada memakai pakaian tersebut pada hari perayaan orang bukan Islam atas dasar sadd al-zari’ah iaitu menutup sebarang peluang berlakunya tasyabbuh yang dilarang," jelasnya.

Mohd Sukki berkata, hukum menjemput atau membawa orang bukan Islam ke dalam kawasan masjid untuk diraikan, menjamu makanan atau memberikan taklimat mengenai Islam adalah harus.

"Inisiatif ini adalah baik bagi tujuan dakwah namun, aktiviti-aktiviti berkenaan tidak boleh dilaksanakan bersempena dengan hari perayaan mereka.

"Ini kerana perbuatan tersebut melambangkan seakan masjid turut sama membesarkan perayaan mereka yang merupakan manifestasi kesyirikan dan kekufuran," katanya.

Menurut beliau, bagi menjaga kesucian masjid dan keutamaannya, pihak pengurusan masjid perlu menitikberatkan beberapa perkara antaranya orang bukan Islam tidak memakai pakaian atau membawa sebarang alatan atau simbol agama mereka.

"Orang bukan Islam juga perlu menjaga adab ketika berada di dalam masjid seperti memakai pakaian yang sopan dan menghormati masjid sebagai tempat ibadah orang Islam.

"Selain itu, kehadiran mereka juga perlu diawasi oleh pihak masjid atau penganjur majlis," tambahnya lagi.


https://www.sinarharian.com.my/article/703636/berita/nasional/orang-islam-ucap-hari-krismas-kembali-jadi-isu


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 07:37 PM GMT+8 , Processed in 0.051242 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list