7 beranak tinggal dalam kereta penerima bantuan Zakat Pulau Pinang
Oleh Nur Izzati Mohamad - Disember 23, 2024 @ 5:02pm [email protected]
Foto Arkib NSTP
BUKIT MERTAJAM: Tujuh beranak yang tinggal di dalam kereta selepas diperdaya tuan rumah hingga mendapat perhatian Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, adalah penerima skim kewangan bulanan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP).
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, berdasarkan rekod, keluarga itu adalah penerima bantuan bulanan, selain penerima dana bagi skim kewangan sekali gus.
"ZPP akan sentiasa mengemaskini kadar jumlahnya (skim bulanan) supaya mengikut kesesuaian semasa.
"Selain itu ZPP turut membantu keluarga ini dengan membayar kos deposit sewa rumah dan mereka juga sering hadir ke ZPP untuk mendapatkan bantuan kecemasan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
MAINPP menjelaskan, agensinya (ZPP) sentiasa prihatin keperluan asnaf di Pulau Pinang dan dalam kes itu, akan terus memantau perkembangan keluarga terbabit dari semasa ke semasa.
Semalam, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkongsi kesengsaraan tujuh beranak itu dan mengambil tindakan segera dengan menyediakan rumah sewa untuk mereka tinggal lebih selesa.
Beliau berkata, lelaki dikenali Hilmi merantau dari Kelantan ke negeri ini bersama isteri dan lima anak berusia dua bulan hingga sembilan tahun untuk kehidupan lebih baik.
Katanya, Hilmi juga sudah membayar deposit sewa rumah dan ditawar bekerja sebagai pemandu lori, namun mendakwa ditipu menyebabkan mereka dihalau keluar rumah serta memilih tinggal dalam kereta.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1340497/7-beranak-tinggal-dalam-kereta-penerima-bantuan-zakat-pulau-pinang
|