Edited by sfhzuraz at 23-12-2024 05:38 PM
Kurang bekalan, harga kelapa naik mendadak
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Disember 23, 2024 @ 4:47pm [email protected]
Kelapa yang dijual di pasar. - Foto fail NSTP
GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan kebimbangan dengan kenaikan harga kelapa yang mendadak di pasaran negeri ini.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata ia dikenal pasti menerusi tinjauan pihaknya di pasar di beberapa lokasi.
Katanya, tinjauan CAP mendapati harga kelapa naik secara berperingkat daripada RM2 kepada RM2.50, dengan kelapa bersaiz besar yang mencecah RM3.30 setiap satu.
"Kenaikan harga kelapa itu juga menyebabkan harga santan meningkat daripada RM12 kepada RM14 sehingga RM15 sekilogram (kg).
"Harga kelapa parut pula naik daripada RM8 kepada RM11 bagi setiap kg," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohideen berkata, peniaga mendakwa masalah itu bermula apabila bekalan kelapa dari negara lain terhenti.
Mereka juga melaporkan, ramai peniaga runcit dan pasar awam menghadapi kesukaran bagi mendapatkan bekalan sejak dua minggu lalu.
"Ia menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan kekurangan bekalan pada masa akan datang.
"Sehubungan itu, CAP menyeru Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya menjalankan siasatan segera terhadap kenaikan harga dan kekurangan bekalan bagi menentukan sama ada ia wajar atau sebaliknya," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1340493/kurang-bekalan-harga-kelapa-naik-mendadak
|