JAS Pulau Pinang keluarkan 314 notis arahan kesalahan cemar alam sekitar
Oleh Nur Izzati Mohamad - Disember 23, 2024 @ 2:54pm[email protected]
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Norazizi Adinan. - Foto NSTP
KEPALA BATAS: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan 314 notis arahan terhadap premis industri yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).
Pengarah JAS negeri, Norazizi Adinan, berkata notis arahan bagi tujuan penambahbaikan itu dikeluarkan dalam pemeriksaan rutin yang dijalankan sepanjang tahun ini.
Katanya, sebanyak 1,307 premis industri diperiksa membabitkan industri berasaskan plastik, kimia, logam asas, getah, kertas, makanan, tekstil, percetakan, pembuatan produk logam serta elektrik dan elektronik.
"Pemeriksaan dijalankan hasil daripada aduan yang diterima, selain menfokuskan industri yang menjadi punca pencemar yang berpotensi mempunyai risiko menyebabkan pencemaran alam sekitar.
"Dalam hal ini, tindakan penguatkuasaan diambil di bawah perundangan yang merangkumi 314 notis arahan, 267 kertas siasatan (kompaun) dibuka, 14 penahanan operasi kelengkapan dan dua kertas siasatan dibuka untuk tindakan mahkamah," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Jelasnya, sepanjang tahun ini juga JAS negeri mengadakan Op Gempur dengan mendapat kerjasama pelbagai agensi.
"Sebanyak 12 Op Gempur diadakan sepanjang tahun ini untuk memastikan pematuhan yang baik berkaitan perundangan AKAS1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.
"Op Gempur ini dijalankan membabitkan pemeriksaan 250 premis industri dan loji kumbahan di seluruh Seberang Perai dan bahagian pulau di Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya.
"Sebanyak 224 arahan lapangan, 69 notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 AKAS 1974, 63 kertas siasatan syor kompaun, tiga Penahanan Operasi Kelengkapan dan lapan kertas siasatan syor pendakwaan dibuka sepanjang operasi ini dijalankan," katanya.
Norazizi berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kualiti alam sekitar sentiasa terpelihara.
"Pelaksanaan penguatkuasaan ini telah berjaya mencapai objektifnya dan operasi penguatkuasaan seumpama ini yang melibatkan kerjasama bersepadu semua pihak akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2024/12/1340447/jas-pulau-pinang-keluarkan-314-notis-arahan-kesalahan-cemar-alam
|