Kenaikan harga sayur di Perlis tidak ketara
Oleh Aizat Sharif - Disember 23, 2024 @ 2:10pm [email protected]
Pegawai Penguakuasa KPDN Perlis melakukan pemeriksaan harga ketika sesi Tinjauan Mesra Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 di sebuah pasar raya di Arau. - Foto NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR.
ARAU: Harga sayuran di Perlis meningkat tetapi tidak ketara seperti yang berlaku di beberapa buah negeri Pantai Timur dan kawasan Selatan, tanah air.
Pengarah KPDN Perlis, Rohaida Hassan berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga yang ketara sayur-sayuran seperti cili merah, kobis, salad dan bermacam lagi.
"Tiada peningkatan ketara dari segi harga berlaku di Perlis disebabkan peniaga sayur-sayuran di negeri ini tidak hanya mengambil bekalan stok sayur-sayuran di Cameron Highlands namun mereka juga menggunakan alternatif mengambil bekalan stok sayur-sayuran di Thailand.
"Bekalan sayur-sayuran di Thailand juga didapati tidak terlalu tinggi berbanding harga sayur-sayuran yang dibawa dari Thailand dan kenaikan sayur-sayuran di negeri lain itu juga dipengaruhi faktor banjir.
"Jika ada yang naik pun, ia tidak begitu ketara dimana kenaikan harga sayur-sayuran di pasar awam di Perlis ini mendapati jika ada pun sekitar 10 hingga 20 peratus sahaja membabitkan sayur-sayuran seperti bendi dan daun bawang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan sesi Tinjauan Mesra Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 di sebuah pasar raya terkemuka di sini, hari ini.
Rohaida berkata, peningkatan harga sayur-sayuran dari Cameron Highlands dan Thailand berbeza dari segi kos pengangkutan.
"Seperti yang kita ketahui, beberapa minggu lalu berlakunya banjir menyebabkan harga sayur-sayuran itu meningkat kerana kehabisan stok dan itu tidak terjadi di Perlis disebabkan ada bekalan alternatif yang diperoleh dari Thailand.
"Kenaikan seperti cili merah hanyalah sekitar 20 hingga 30 peratus saja dari RM18 hingga RM20 sekilogram dan ini masih mampu dinikmati oleh pengguna jadi tidak timbul harga sayur-sayuran di negeri ini mengalami kenaikan mendadak," katanya.
Sementara itu, dalam tinjauan mesra itu, Rohaida meninjau bahagian sayur-sayuran di sebuah pasar raya di Arau yang mana dalam tinjauan berkenaan didapati bekalan sayur-sayuran masih boleh didapati di pasar raya berkenaan.
Dalam SHMMP Krismas 2024 yang berkuatkuasa hari ini sehingga 27 Disember depan, KPDN Negeri Perlis sudah mengenal pasti sebanyak 14 barangan yang dikawal dalam skim berkenaan.
Antara barangan makanan berkenaan adalah ayam segar, kepak ayam, daging kambing biri-biri bertulang import, ubi kentang (import), kubis bulat (import), lobak merah, tomato, lada benggala hijau, cili merah, bawang merah besar (import), bawang kuning besar dan daging babi.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/12/1340419/kenaikan-harga-sayur-di-perlis-tidak-ketara
|