CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 19540|Reply: 1

[Pulau Pinang] Nampak banyak kapal kargo selepas 2 kali laung azan - Mangsa bot hanyut

[Copy link]
Post time 23-12-2024 11:57 AM | Show all posts |Read mode
Nampak banyak kapal kargo selepas 2 kali laung azan - Mangsa bot hanyut

Oleh Zuhainy Zulkiffli - Disember 23, 2024 @ 11:48am [email protected]





Ahli keluarga memeluk Muhammad Ikmal Hakimi (kiri) dan Nor Hasrul yang hanyut di laut selama enam hari sebelum ditemui selamat di perairan Acheh, Indonesia di Jeti Limbungan Batu Maung, Pulau Pinang. - Foto NSTP/Mikail Ong





BAYAN LEPAS: "Kami hampir putus harapan dan hanya sebut akan mati namun selepas dua kali laung azan, saya nampak banyak kapal kargo berhampiran kami.

"Ketika itu saya fikir kami masih berada di perairan Pulau Pinang sebelum menyedari ia adalah sempadan negara jiran selepas diberitahu nelayan yang menyelamatkan kami."

Demikian kata Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, mengenai kejadian yang menimpa mereka selepas bot dinaiki bersama Nor Hasrul Abdullah, 25, hanyut ke sempadan negara jiran.

Muhammad Ikmal Hakimi berkata, sebaik diselamatkan pagi semalam, mereka berpelukan dan menangis menganggap ia bagaikan 'peluang kedua' untuk hidup.

Katanya, sepanjang berada di perairan negara jiran, mereka berdua menerima layanan baik.

"Hanya wajah ibu bapa yang berlegar di fikiran dan tidak sabar mahu bertemu mereka sebelum kami dibawa menaiki kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.

"Terima kasih kepada semua, walaupun ikut hati tidak serik ke laut namun pengalaman ini akan saya jadikan pengajaran," katanya ketika ditemui di Jeti Limbungan Batu Maung, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam dan Timbalan Pengarah Maritim Malaysia Komander Maritim Nak Rong Si Prom.

Sebelum ini media melaporkan dua rakan itu dikhuatiri hilang Selasa lalu, selepas bot yang dinaiki hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau di sini, berikutan mengalami masalah enjin.

Bercerita mengenai kejadian itu, Muhammad Ikmal Hakimi berkata, mereka ke laut pada jam 3 petang bagi mengambil pukat namun bot mereka mengalami masalah enjin sebelum menghubungi tekong yang bertugas di pangkalan bagi meminta bantuan kira-kira jam 6 petang.

Keadaan ribut menjelang tengah malam menyebabkan bot berkenaan dimasuki air dan adakalanya mereka bersembunyi di bawah pukat kerana terlalu takut.

Mereka kemudian menunggu bantuan sehingga bateri telefon bimbit kehabisan namun tidak sesekali menanggalkan jaket keselamatan.

"Bekalan biskut dan nasi yang dibawa juga kehabisan menyebabkan kami berpuasa selama tiga hari.

"Keesokannya, kami sangat lapar sebelum makan ikan kembung dan cencaru yang ditangkap bagi mengalas perut serta minum air laut.

"Malah kami beberapa kali muntah selepas telan ikan mentah itu namun terpaksa juga bagi 'menyambung nyawa' sehingga menangis dan menganggap sudah tiada harapan untuk diselamatkan," katanya.

Bagi Nor Hasrul, ini adalah kali pertama dia hanyut di lautan sepanjang hampir dua tahun berpengalaman turun ke laut.

"Saya pernah berdepan dengan kejadian ribut di laut tetapi tidaklah sehingga begini," katanya yang tidak menolak kemungkinan untuk kembali menangkap ikan.

Sazalee ketika ditemui berkata, kedua-duanya ditemukan nelayan di kawasan sempadan berhampiran Acheh, Indonesia iaitu kira-kira sejauh 60 batu nautika.

Mereka kemudian dibawa Maritim Malaysia menaiki KM Burau malam tadi dan tiba pada jam 3 pagi hari ini.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1340346/nampak-banyak-kapal-kargo-selepas-2-kali-laung-azan-mangsa-bot





Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 23-12-2024 02:07 PM | Show all posts
syukran umur masih lagi panjang, dan dapat diselamatkan
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 09:09 PM GMT+8 , Processed in 0.060763 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list